suria

Rumpai Beracun Ditemui Di Melaka Dan Johor - Jabatan Pertanian

PUTRAJAYA: Rumpai Parthenium hysterophorus yang terbaharu ditemui di Melaka dan Johor, kata Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohd Sidek.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan negeri-negeri yang terjejas dengan rumpai beracun ini kepada enam; dengan sebelum ini dilaporkan ia terdapat di Negeri Sembilan, Kedah, Selangor dan Perak.

"Setakat ini, lebih daripada 1,500 Parthenium hysterophorus telah didapati merebak di seluruh Johor, malah angka itu mungkin lebih tinggi," kata Ahmad Zakaria.


"Sebaik sahaja kita mengetahui lebih banyak serangan atau jika orang ramai tampil untuk memberitahu kepada kita tentang kawasan yang dipenuhi tumbuhan itu, kita akan mengemas kini angkanya," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pakar-pakar dan ahli sains minggu depan untuk membincangkan kaedah untuk mengawal tumbuhan beracun itu.


P. hysterophorus ini dikatakan mungkin menjadi 'rumpai terburuk abad ini' kerana ia mampu memusnahkan flora dan tanaman asli, menyebabkan ruam yang boleh menyebabkan parut kekal kepada manusia dan merosakkan usus haiwan yang memakannya.

Ia pertama kali dikesan di sini pada September tahun lepas di Ulu Yam, Selangor.

Kajian awal mendapati tumbuhan tersebut mempunyai keupayaan melawan sekiranya kita cuba memusnahkannya.

Spesies tumbuhan berbunga yang berasal dari Mexico ini boleh menyebabkan penyakit kulit yang teruk dan demam panas di kalangan manusia.

Ia juga adalah toksik kepada ternakan seperti kambing dan lembu, menyebabkan demam, ulser, tiada selera makan dan kerosakan usus, dan boleh menggantikan flora asli secara cepat dengan melepaskan bahan-bahan toksik, menyebabkan kerugian tanaman secara besar-besaran.

Rupa bentuk yang hampir sama dengan ulam raja, P. hysterophorus diklasifikasikan sebagai makhluk perosak berbahaya di bawah Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 dan boleh merebak dengan cepat.

Artikel Lain