suria

Tiada Penekanan, Guru Tak Berkualiti Punca Graduan 'Bergelut' Dengan B.Inggeris

Datuk Shamsudin Bardan
PETALING JAYA: Kurangnya penekanan terhadap bahasa Inggeris di sekolah dan guru tak berkualiti adalah antara sebab graduan Malaysia masih berdepan masalah dan bergelut dengan bahasa tersebut, menurut majikan.

"Berdasarkan maklum balas daripada ahli-ahli kami, Inggeris masih menjadi masalah utama graduan yang membimbangkan.

"Penekanan mengenai perkara ini dalam sistem pendidikan kita aadalah kurang dan ini menyebabkan pelajar-pelajar kita tidak mempunyai minat belajar dan menguasai bahasa Inggeris," kata Setiausaha Persekutuan Majikan-majikan Malaysia Datuk Shamsudin Bardan, Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ada 'sesuatu yang tidak kena' apabila pelajar masih bergelut dengan bahasa Inggeris apabila mereka memasuki universiti.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata pelajar menghabiskan bertahun-tahun belajar bahasa Inggeris dan sepatutnya sudah menguasai bahasa itu sepanjang mereka di sekolah.

Beliau berkata demikian semasa dialog mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Sektor Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) 2015-2025 Malaysia pada Selasa.

Shamsudin berkata guru tidak layak adalah satu sebab utama mengapa tahap penguasaan bahasa Inggeris para pelajar adalah lemah.

Beliau memberi contoh laporan bahawa kira-kira 70 peratus daripada 60,000 guru bahasa Inggeris yang menduduki Ujian Penempatan Cambridge (CPT) tidak menunjukkan hasil yang baik.

"Jika kita mempunyai guru-guru yang tidak menguasai bahasa itu sendiri, sudah tentu pelajar-pelajar kita menerima kesannya," katanya.

Pengurus Portal Pengambilan Online myStarjob.com Ivy Leong berkata disebabkan tiada arahan tegas terhadap penggunaan bahasa Inggeris kepada pelajar menyebabkan pelajar mahu bergantung kepada 'zon selesa' dan gagal menyedari kepentingan bahasa itu.

"Jika mereka diberi pilihan untuk mengikuti kursus mereka dalam bahasa pilihan mereka sendiri, ramai yang tidak akan memilih bahasa Inggeris kerana mereka lebih suka bergantung kepada bahasa yang mereka paling selesa.

"Kedua, adalah kekurangan keyakinan diri.

"Mereka bimbang orang lain akan mengejek mereka (jika mereka bertutur dalam Bahasa Inggeris).

"Oleh itu mereka terlepas peluang untuk belajar dan meningkatkan penguasaan," katanya.

Pengurus JobStreet.com negara Chook Yuh Yng berkata kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris yang lemah adalah masalah kedua terbesar di kalangan graduan selepas masalah sikap dan jangkaan gaji yang tidak realistik.

Beliau berkata pelajar Malaysia tidak mempunyai kemahiran dalam bahasa Inggeris kerana ramai tidak menggunakan bahasa itu sebagai medium komunikasi dan pembelajaran bahasa tersebut terbatas dalam bilik darjah.

Artikel Lain