suria

Pihak Berkuasa Roboh Tempat Tinggal Pekerja Asing Yang Pernah Diroboh Sebelum Ini

CAMERON HIGHLANDS: Tidak sampai sebulan selepas pegawai-pegawai penguatkuasa merobohkan kediaman pekerja asing tanpa izin di sebuah ladang di Blue Valley, mereka terkejut apabila melihat terdapat lagi binaan di tempat yang sama.

Pasukan yang diketuai Majlis Keselamatan Negara pada Khamis merobohkan kediaman yang dibina semula dalam operasi untuk membersihkan penyambungan tanah ladang secara haram di sini.

"Kami telah mengecilkan saiz tanah yang disambung secara haram, yang meliputi kira-kira 10.5 hektar.

"Ia adalah tiga hingga empat kali saiz ladang yang sah," kata Setiausaha MKN Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab, sambil menambah kerja untuk membersihkan tanah sambungan haram akan mengambil masa lebih lama daripada yang dijangka.

"Kita perlu menambah baik cara untuk memusnahkan sambungan ini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pemilik itu dipercayai telah melabur sejumlah RM10 juta untuk ladang tersebut.

Mohamed Tajudeen percaya bahawa sambungan tanah secara haram telah dilakukan selama beberapa tahun.

"Ada kemungkinan pemilik membesarkan saiz ladang secara beransur-ansur. Kami percaya ia sudah dilakukan kira-kira lima tahun," katanya.

Apabila pembersihan di ladang itu telah siap, pasukan itu akan bergerak ke lokasi lain untuk meneruskan operasinya, katanya.

Mohamed Tajudeen berkata sekurang-kurangnya 20 pekerja asing tanpa dokumen lengkap telah ditahan.

Beliau berkata pemilik ladang itu mungkin menyimpan dokumen mereka tetapi tidak hadir semasa operasi.

Operasi itu dibuat selepas menerima arahan daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan Cameron Highlands.

Penerokaan tanah haram secara berleluasa telah dipersalahkan kerana menyumbang kepada bencana alam baru-baru ini yang melibatkan kawasan tanah tinggi.

Artikel Berikut

Artikel Lain