suria

Perlawanan Persahabatan Antara Pasukan Orang Buta India dan Malaysia

Ahli MBSA beraksi dalam perlawanan bola sepak.

NEW DELHI: Pasukan bola sepak orang buta India akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan orang buta Malaysia di Kuala Lumpur pada 13 Disember ini.

Perlawanan berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia (MBSA).

"Pasukan bola sepak orang buta India sebuah pasukan muda berbanding Malaysia dan ia sentiasa bagus untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan yang banyak menyokong kami," kata jurulatih Persatuan Pemulihan Cacat Penglihatan (SRVC) India, Sunil J. Mathew kepada Bernama, Isnin.

Beliau berkata SRVC, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, telah membantu menubuhkan pasukan bola sepak orang buta India pada Mei tahun lepas.

"Lebih 40 negara mempunyai pasukan bola sepak orang buta dan India tiada sehinggalah kami menubuhkan pasukan ini tahun lepas," katanya, sambil menambah bahawa pasukan bola sepak orang buta Malaysia dan MBSA telah memberi sokongan yang baik kepada mereka.

"Anda (Malaysia) mempunyai pasukan yang kuat dan kami tidak sabar menanti perlawanan itu," katanya.

Sunil berkata, dari Kuala Lumpur, pasukan berkenaan akan berlepas ke Hong Kong untuk menyertai Kejohanan Enam Negara dari 14 hingga 18 Dis, yang mana Malaysia turut mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan.

Bola sepak orang buta adalah perlawanan lima sebelah yang disertai pemain cacat penglihatan, menggunakan bola yang mengeluarkan bunyi.


bola sepak, buta, India, MBSA

Artikel Lain