suria

Thailand Iktiraf Peranan Malaysia Dalam Proses Damai Selatan Thailand - Najib

Najib (kanan) bersalaman dengan Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha ketika tiba pada majlis makan tengah hari sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand ke Malaysia di Seri Perdana di sini, Isnin.

PUTRAJAYA: Thailand mengiktiraf peranan Malaysia dalam proses damai selatan Thailand dan negara jiran itu berjanji akan memberikan komitmen kukuh ke arah usaha itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin.

Beliau berkata Malaysia dan Thailand juga bersetuju dengan tiga prinsip asas berhubung usaha damai itu.

Menurutnya tiga prinsip itu adalah tempoh tanpa keganasan; semua pihak perlu diwakili dalam rundingan damai itu; dan semua pihak di selatan Thailand perlu bersetuju kepada satu permintaan bersatu yang akan dikemukakan kepada kerajaan Thailand.

"Berdasarkan tiga prinsip itu, Malaysia akan meneruskan (proses damai) dan kerajaan Thailand juga menyatakan secara mutlaknya bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara yang ia mahu jalinkan kerjasama bagi proses damai itu," kata beliau.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas majlis makan tengah hari sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha di Seri Perdana di sini.

Jeneral Prayut dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Malaysia.

Terdahulu, Najib dan Jeneral Prayut mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat delegasi di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Mengulas lanjut mengenai tiga prinsip itu, Najib berkata, pertama, perlu ada tempoh tanpa keganasan dan menghormati undang-undang.

Jika pihak di selatan Thailand menghormati undang-undang, oleh itu mereka tidak perlu takut, katanya.

Menurutnya Jeneral Prayut juga berkata, pihak tentera boleh mengurangkan kehadiran pasukan mereka di selatan jika keganasan dihentikan.

"Yang kedua, kami bersetuju adalah penting bukan satu pihak tetapi semua pihak diwakili dalam proses damai itu," katanya sambil menjelaskan Malaysia dan Thailand akan cuba berbincang dengan semua pihak di selatan, dan bukannya hanya dengan satu atau dua kumpulan.

Najib berkata, ketiga, semua tuntutan akan dikumpulkan dan dikemukakan sebagai satu permintaan bersatu.

Dalam kata lain, katanya semua pihak perlu bersetuju dengan senarai tuntutan atau permintaan yang mereka mahu kemukakan kepada kerajaan Thailand.

"Itu (permintaan bersatu) akan menjadi asas kepada memulakan rundingan substantif sebenar dengan kerajaan Thailand," kata beliau.

Perdana menteri berkata, Malaysia dan Thailand akan mencergaskan semula proses damai itu dan memulakan kembali usaha itu berdasarkan tiga prinsip berkenaan.

Ditanya mengenai jangka masa proses damai itu, beliau berkata adalah sukar untuk meletakkan tempoh bagi sebarang usaha.

Thailand, proses damai, Malaysia

Artikel Lain