suria

PAU 2014: Pilihan Raya India Bukti Usia Bukan Penghalang Peremajaan Umno

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin berkata, Umno perlu mengambil contoh Perdana Menteri India, Narendra Modi dari Parti Bharatiya Janata (BJP) dalam usaha meremajakan parti itu.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, proses peremajaan yang ingin dilakukan Umno boleh menjadi kenyataan jika pemimpinnya melihat dalam konteks yang menyeluruh.

"Lihat sahaja pilihan raya umum di India baru-baru ini apabila berlaku proses demokrasi yang paling besar di dunia. Kita menyaksikan dua calon bertanding untuk jawatan perdana menteri.

"Kalau tengok dari segi kempen, calon lama (Modi berusia 63 tahun) bawa diri macam orang muda dengan menggunakan Facebook, Twitter serta perkenalkan polisi-polisi dan dasar mesra orang muda, cergas serta dinamik.

"Namun calon muda (Rahul yang berusia 43 tahun) dari Parti Kongres pula tidak menunjukkan keremajaannya, tidak berhubung di media sosial. Polisinya pula ditakuk lama. Gaya kempen pun di takuk lama," katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno di sini, Sabtu.

Pada pilihan India yang lalu, BJP mencipta sejarah sebagai parti politik tunggal yang pertama dalam tempoh 30 tahun menang dengan majoriti besar untuk menguasai Dewan Rakyat India.

Mengulas lanjut, Khairy berkata Umno juga boleh terus mengekalkan penguasaanya jika pemimpin-pemimpinnya berjaya memahami konsep peremajaan yang sebenar.

"Akhirnya gelombang pengundi muda di India menentukan sokongan kepada Modi, kerana apa? Kerana peremajaan. Orang lama menjiwai denyut nadi orang muda," katanya.


Artikel Lain