suria

PAU 2014: Pindaan Akta Hasutan Dibentang Sesi Parlimen Akan Datang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Hasutan 1948 dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat sesi akan datang.

Perdana Menteri berkata demikian ketika sesi perbahasan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu.

"Kita minta ketegasan daripada peguam negara, kita minta polis buat siasatan rapi, minta SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) buat siasatan sewajarnya supaya bagi isyarat yang jelas.

"Bahawa tak ada sesiapa yang harus takut dan bimbang kalau tak langgar undang-undang," katanya.

Tambah Najib, bagaimanapun rakyat tidak harus takut dengan pindaan Akta Hasutan jika mereka tidak terlibat dengan aktiviti menghasut untuk merosakkan negara.

"Jangan jadi batu penghasut antara kaum dan agama. Jadi tak perlu takut kalau dia tak mengapi-apikan dan meghasut orang, tak perlu bimbang kalau tak mnghasut.

"Sekarang dah tak ada amaran lagi, jangan nak bagi amaran lagi. Kita nak pastikan keamanan dalam negara kita. Tapi nak pastikan setiap orang hormati antara satu sama lain," katanya.

Khamis lalu, ketika menyampaikan ucapan dasar presiden, Najib mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekal dengan penambahbaikan yang turut menyentuh mengenai kesucian Islam dan hak agama lain.

Pindaan akta itu juga bakal menyentuh mengenai tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Selain itu Najib turut membidas media antarabangsa yang mengkritik tindakanya kononnya beliau memungkiri janji untuk memansuhkan akta tersebut.

"Sebagai perdana menteri saya bertanggungjawab untuk jaga keselamatan negara kita.

"Kebebasan pun ada hadnya, ia tak mutlak. Tak boleh hina agama Islam tak boleh cabar hak Melayu, tak boleh persoalkan raja-raja Melayu dan kita akan jaga kepentingan kaum lain," katanya.


RUU, Akta Hasutan, Dewan Rakyat, PAU

Artikel Lain