suria

PAU 2014: Wanita Mahu Akta Hasutan Adil, Berani Dan Saksama

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno menegaskan peruntukan dalam Akta Hasutan 1948 yang dikekalkan perlu dilaksanakan dengan berani, adil dan saksama.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil berkata, hal ini kerana peruntukan akta itu bukan sahaja menjadi benteng terakhir dalam mempertahankan kesucian agama Islam, Institusi Raja-raja Melayu dan hak keistimewan orang Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak malah turut melindungi hak kaum lain.

"Kita mesti berani, tapi pada masa sama peruntukan itu perlu dilaksanakan dengan adil dan saksama," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Ketua Wanita Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Jelas beliau, sayap pergerakan Umno itu sebelum ini berjaya mendapatkan sebanyak 300,000 daripada satu juta tandatangan dalam tempoh kurang sebulan untuk menggesa kerajaan supaya tidak memansuh akta berkenaan.

Shahrizat selain itu turut memuji tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkan sebagai pemimpin yang berani kerana mengekalkan akta tersebut.

"Kami adakan satu forum supaya jangan sesekali dihapuskan akta hasutan. Alhamdulillah, Datuk Seri dengar suara Wanita. Itu satu keberanian seorang Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Shahrizat memberitahu, Wanita Umno turut mencadangkan supaya Peguam Negara diperuntukkan kuasa bagi membuat petisyen untuk mengarahkan kerajaan negeri menggantikan semula tanah rizab Melayu yang sudah diambil.

"Ia perlu dilakukan bagi  kepentingan umum demi memastikan generasi akan datang turut menikmati khazanah bangsa itu," katanya.

Artikel Lain