suria

PAU 2014: Isu Peremajaan Sebabkan Pemuda Dipandang 'Senget' - KJ

Khairy ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada PAU 2014 di Dewan Merdeka, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendedahkan bahawa isu peremajaan parti kini menjadi polemik yang mula merosakkan Umno.

Memfokuskan isu itu dalam ucapan penggulungannya, beliau berkata, sejak isu peremajaan Umno hangat dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno  (PAU) 2014, sudah wujud penerimaan negatif di kalangan pemimpin peringkat bahagian dengan kepimpinan Pemuda.

Menurut Menteri Belia dan Sukan itu, beliau dimaklumkan ada ketua-ketua bahagian yang mula memandang 'senget' terhadap golongan pemuda.

"Saya tahu bahawa isu ini mula mengubah sedikit sebanyak hubungan antara orang lama dan orang muda. Sudah ada ketua pemuda yang dipandang serong...dipandang senget oleh ketua bahagian.

"Kalau dulu boleh peluk mesra, tapi hari ini hanya boleh salam hujung jari saja," katanya sambil disambut tepukan gemuruh majoriti perwakilan PAU 2104.

Selain bimbang isu peremajaan Umno disalah tafsir oleh sesetengah pihak dalam parti, beliau juga menyatakan kerisauannya mengenai hala tuju matlamat meremajakan parti itu jika ia tidak diurus dengan baik.

"Saya risau ada yang salah faham dan salah erti. Daripada isu nak remajakan parti, mungkin akan jadi api dalam sekam dan jadi seperti bom jangka yang akan meletup.

"Saya risau kalau ia tak disebut dan tidak dibuat dengan cara baik, ia akan merosakkan parti. Kalau tak perhalusi dengan baik, saya risau perpaduan akan terjejas.

"Dikalangan Pemuda sudah ada yang tafsir bahawa peremajaan parti ialah pemuda nak jadi calon, nak jawatan. Manakala ketua bahagian pula fikir kumpulan pemuda nak lawan dia," katanya.

Bagaimanapun Khairy bijak mengurangkan tekanan di kalangan perwakilan dengan menyatakan bahawa proses peremajaan tidak boleh hanya dilihat dari segi usia.

"Lihat sahaja  presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita, usia beliau dah tua...minta maaf sir, tapi hakikatnya beliau tak muda lagi. Tapi pengikut Twitter beliau berjuta-juta, suka ambil selfie macam orang muda. Itu juga proses peremajaan.

"Tengok Setiausaha Agung (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor), rambut sentiasa warna hitam...itu juga peremajaan," katanya sambil disambut ketawa perwakilan dan kepimpinan Majlis Tertinggi Umno.

Justeru Khairy berkata, kepimpinan peringkat bahagian perlu melihat isu peremajaan dalam konteks yang lebih luas demi masa depan parti.

"Bukan nak minta ketua bahagian pakai seluar ketat dan stokin pink...bukan.

"Tapi saya percaya ketua bahagian boleh lakukan, terlibat dalam proses  peremajaan tersebut," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain