suria

Tiga Ditahan Terlibat Kes Samun Bersenjata Kedai Runcit

SANDAKAN: Polis berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjata melibatkan sebuah kedai runcit di Taman Merpati dekat sini Selasa lepas berikutan tertangkapnya tiga lelaki semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Md Zain berkata ketiga-tiganya merupakan rakyat tempatan berusia lingkungan 23 hingga 30 tahun.

Beliau berkata mereka ditahan pada pukul 5 pagi di sini dan merampas sebilah pisau pemotong daging dan sebilah pisau pemotong sayur daripada mereka.

Mereka didapati positif dadah dan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau di Singapura dan Malaysia, katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Ketika kejadian samun itu, peniaga berkenaan ditetak pada bahu dan tangan sebelum para perompak melarikan wang RM850, kad prabayar bernilai RM270 dan rokok bernilai RM270. 

Zabidi juga berkata sejak Januari sehingga 26 November lepas, statistik jenayah jalanan di Sandakan mencatat penurunan berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Katanya bagi jenayah kekerasan, sebanyak 49 kes dicatatkan berbanding 56 kes, 11 kes jenayah harta benda berbanding 19 kes.

Beliau berkata secara keseluruhan, 60 kes dicatat bagi dua jenayah berkenaan berbanding 75 kes.
samun bersenjata, kedai runcit

Artikel Lain