suria

Jawatankuasa Hak & Kebebasan Selangor Pertimbang Bayar Gaji Bekas Adun Digantung

Hannah Yeoh.
SHAH ALAM: Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor bersedia mempertimbang pembayaran gaji tertunggak seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan enam bekas Adun negeri itu yang pernah digantung tanpa gaji.

Pengerusinya Hannah Yeoh Tseow Suan berkata perkara itu akan diteliti susulan kemenangan kes Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo baru-baru ini, apabila Mahkamah Persekutuan mengarahkan Parlimen membayar gaji dan imbuhan yang ditahan semasa beliau digantung setahun pada 2009.
 
"Memandangkan kes Gobind Singh menang di Mahkamah Persekutuan dan mempunyai hak mendapatkan gaji, kita akan meneliti serta mempertimbang semula kesediaan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membayar gaji Adun dan bekas Adun yang pernah digantung tanpa gaji," katanya pada pemberita di lobi DUN di sini, hari ini.

Hannah yang juga Speaker DUN Selangor berkata jawatankuasa itu juga dijangka bermesyuarat dalam tempoh terdekat atau selewat-lewatnya bulan depan sebelum membawa usul berkenaan dalam sidang DUN pada Mac 2015 untuk dibahaskan.
 
"Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan buat satu keputusan untuk dibawa dalam sidang DUN pada Mac. Selepas itu, baru akan diketahui sama ada gaji mereka akan dibayar atau tidak," katanya.

Seorang Adun yang terlibat dalam perkara berkenaan adalah Adun Sungai Pinang Datuk Teng Chang Kim yang digantung selama 18 bulan pada 2005 manakala enam bekas Adun pula melibatkan Adun Sungai Panjang Datuk Seri Mohamad Khir Toyo (digantung setahun pada 2009); bekas Adun Batang Kali Mohd Isa Abu Kasim (digantung enam bulan pada 2009) dan bekas Adun Seri Serdang Datuk Satim Diman (digantung enam bulan pada 2009).

Selain itu, bekas Adun Sabak Datuk Warno Dogol juga digantung selama enam bulan pada 2009; bekas Adun Dengkil Datuk Marsum Paing (digantung enam bulan pada 2009) dan bekas Adun Hulu Bernam Datuk Mohamad Idris Abu Bakar (digantung enam bulan pada 2009).

Artikel Lain