suria

PAU 2014: Pemimpin, Ahli Umno Bersalah Jika Gagal Bela Nasib Melayu, Bumiputera

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Umno tidak seharusnya dipersalahkan jika agenda perjuangan untuk membela nasib orang Melayu dan Bumiputera gagal.

Sebaliknya, Presiden Umno itu berkata, pemimpin dan ahli parti itu yang perlu menanggung kesalahan itu.

Sehubungan itu, beliau mahu pemimpin dan ahli Umno supaya terus berjuang untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu dan Bumiputera terhadap parti itu.

"Perjuangan kita di dalam Umno, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan Bumiputera wajib disempurnakan.

"Atas sebab itulah, ingin dinyatakan bahawa, Umno tidak bersalah, parti Umno tidak berdosa. Sebaliknya, yang bersalah dan yang sering berdosa itu adalah diri kita.

"Ternyata, atas kelalaian dan kealpaan kitalah dalam membenteng serta mempertahankan UMNO dengan sewajarnya, menyebabkan realiti politik terutamanya lebih 15 tahun yang lalu begitu berubah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2014 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Selain itu, Najib mengingatkan bahawa musuh politik Umno akan mengambil kesempatan sekiranya pemimpin Umno mengabaikan tanggungjawab membantu rakyat.

Lebih parah katanya, apabila niat murni Umno membantu kumpulan sasar disalah tafsir oleh pihak tidak bertanggungjawab kononnya parti itu bersifat perkauman.

"Sekalipun kita di pihak yang benar, tapi hanya duduk diam dan tidak melakukan apa-apa, maka musuh akan bermaharajalela dan makin menjadi-jadi. Tambahan pula, dipetualang dan dikhianat oleh si kitul-si kitul moden.

"Sayang seribu kali sayang, sedih sejuta kali sedih, natijahnya, ramai orang Melayu dan Bumiputera khususnya, dan masyarakat Malaysia umumnya, telah tersalah sangka dengan perjuangan ikhlas dan murni parti Umno.

"Apa yang penting, saya ingin menegaskan bahawa orang-orang Umno tidak perlu apologetic, orang-orang UMNO tidak perlu berasa segan silu, jika ramai pihak yang cuba memperlekeh, mencemuh kononnya parti ini sudah jumud dan tidak relevan lagi," katanya.

Bagaimanapun Najib mengingatkan bahawa beberapa dasar kerajaan untuk kepentingan semua rakyat berbilang bangsa di negara ini adalah sumbangan Umno.

"Hakikatnya, jangan sesekali kita lupa, dalam perhimpunan  bersejarah seperti inilah kementerian strategik untuk kepentingan Melayu dan Bumiputera diusulkan, di perkumpulan sebeginilah institusi Melayu serta Bumiputera seperti UiTM dimartabatkan.

"Begitulah juga nasib penjawat awam yang jumlahnya kini lebih 1.5 juta terus dibela, di sinilah Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan, di sinilah syiar agama Islam tetap diperteguh dan dipertinggikan, dan yang paling mustahak, di perhimpunan inilah orang-orang Melayu menumpang teduh, membawa hati demi menghitung masa depan keturunan anak cucu mereka," katanya.

agenda perjuangan, Umno, nasib Melayu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain