suria

Tukang Kebun Dipenjara 12 Tahun Sebabkan Kematian

SHAH ALAM: Seorang tukang kebun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, Khamis selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian pembantu peribadi kepada bekas Anggota Parlimen Kapar S.Manikavasagam, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha memerintahkan M.Ragvnanthan, 45, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 18 Disember 2012.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian K.S.Natchymuthu, 53, di Jalan Ungu U9/28, Sunway Kayangan, Seksyen U9 di sini, antara pukul 8 pagi hingga 8.30 pagi, 18 Dis 2012.

Dia itu didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Ragvnanthan sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
 
Berdasarkan fakta kes, berlaku pertengkaran mulut di antara tertuduh dan mangsa berhampiran dengan pos pengawal sebuah pangsapuri sebelum kejadian.

Tertuduh marah dengan mangsa dan memukulnya beberapa kali di bahagian badan menyebabkan mangsa melarikan diri dengan menunggang motosikal sambil dikejar tertuduh yang memegang sebatang kayu penggali tanah.

Ketika mengejar mangsa, tertuduh memukul mangsa di bahagian kepala dengan kayu itu menyebabkan mangsa melanggar pembahagi jalan dan terjatuh dari motosikal.

Mangsa kemudian bangun dan berjalan beberapa langkah sebelum terjatuh semula di atas jalan, sementara tertuduh terus melarikan diri.

Pihak ambulans yang tiba di tempat kejadian mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia dan senjata digunakan tertuduh juga ditemui di tempat kejadian.
 
Bedah siasat yang dijalankan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada kepalanya dan kecederaan itu konsisten dengan senjata digunakan oleh tertuduh.

Terdahulu, ketika rayuan untuk pengurangan hukuman, peguam T.Vijayandran yang mewakili Ragvnanthan berkata pertengkaran yang tercetus di antara anak guamnya dan mangsa berpunca daripada tindakan mangsa memotong bekalan air di pangsapuri tertuduh berikutan kegagalan membayar bil air.

Vijayandran berkata mangsa, yang juga wakil kepada pihak pengurusan pangsapuri, tidak berpuas hati dengan tertuduh kerana tidak lagi bekerja sebagai tukang kebun di pangsapuri itu.
 
"Sebelum kejadian, anak guam saya pernah membuat dua laporan polis terhadap mangsa mengenai tindakan pemotongan bekalan air itu. Pohon hukuman paling minimum memandangkan anak guam saya kini menghidap penyakit batuk kering (tibi)," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil, yang mengendalikan pendakwaan, bagaimanapun berkata pertengkaran antara tertuduh dan mangsa bukan sebab untuk menjustifikasikan perbuatan tertuduh.

Beliau berkata mangsa cuba meleraikan pertengkaran mulut itu dengan beredar dari tempat kejadian selepas tertuduh bertindak memukul badannya.
 
"Tertuduh sepatutnya bertenang selepas itu tetapi tidak cukup pukul di badan (mangsa), tertuduh telah mengejar mangsa dan memukul kepala mangsa yang langsung tidak bersenjata dan tidak berpeluang untuk mempertahankan diri. Ini tindakan melampau dan seharusnya hukuman setimpal perlu diberikan oleh mahkamah," katanya.
tukang kebun, bunuh, hukuman penjara

Artikel Lain