suria

Kekal Akta Hasutan, PM Berpijak Di Bumi Nyata - Ahmad Zahid

Tiga naib presiden Umno antara yang memberi reaksi spontan menyokong keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan Akta Hasutan pada Khamis.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berpijak di bumi nyata apabila mengumumkan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 walaupun pernah berhasrat menghapuskan akta itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, realiti politik di Malaysia tidak mengizinkan akta tersebut dihapuskan.

"Kami puji keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memang berhasrat melakukan transformasi politik melalui penghapusan akta itu.

"Tapi jelas apabila maklum balas terlalu banyak diperolehi, ertinya Perdana Menteri berpijak di bumi nyata bahawa realiti politik dan acuan politik mesti disesuaikan dengan kepentingan, keperluan, keselamatan, kesejahteraan masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.

Beliau yang juga naib presiden Umno berkata demikian pada sidang media bersama dua lagi rakan sejawatannya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal selepas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kemajmukan negara juga tidak mengizinkan semangat keterbukaan dengan menghapuskan Akta Hasutan di Malaysia.

Katanya, berbeza dengan negara lain, kepelbagaian agama, budaya, bahasa dan adat di negara ini harus dihormati.

"Ini acuan politik Malaysia. Kemajmukan negara kita tak mengizinkan satu semangat keterbukaan yang merosakkan kemajmukan di negara kita.

"Jangan pernah disogokkan acuan negara lain dengan negara kita," tegasnya sambil menambah keputusan presiden Umno itu juga menunjukkan beliau seorang yang praktikal dan memahami hati rakyat.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, keputusan dibuat setelah melihat polemik kepincangan Akta Hasutan yang sudah berkisar kepada sama ada ia dikekalkan atau dihapuskan.

"Apa yang diumumkan presiden sebenarnya melegakan dan ini tidak bermakna kita tidak boleh pinda lagi akta sedia ada dan kalau perlu...melihat kepada akta-akta baharu.

"Tetapi kita jelas mengenai pendirian presiden yang kembali kepada pokok...niat kita tidak pernah menidakkan kedudukan Islam, kaum, bahasa dan isu-isu Raja," kata Menteri Pertahanan itu sambil menambah perkara disuarakan akar umbi dan mendapat persetujuan Najib.

Sementara itu, Shafie pula berkata, keputusan Najib meunjukkan bahawa pimpinan Umno sentiasa mendengar suara rakyat berkenaan keselamatan negara.

"Presiden bukan hanya melihat kepentingan orang Melayu dan agama Islam tetapi keselamatan negara Malaysia secara keseluruhannya," katanya.

Beliau merujuk kepada anasir-anasir dan pihak yang mengambil kesempatan dengan meminta Sabah dan Sarawak dikeluarkan dari Malaysia.

Najib, ketika menyampaikan ucapan dasar PAU 2014 mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dan diperkukuhkan.

Katanya, peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam dan agama lain juga akan dimasukkan dalam akta tersebut.

"Keduanya ialah kita akan masukkan supaya tindakan boleh diambil kepada sesiapa yang menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia," katanya.

Artikel Lain