suria

Tak Perlu Tunggu Arahan Tangani Salah Laku Penjawat Awam - KSN

Ali diiringi Zabidi (kanan) ketika melawat ibu pejabat Perhilitan, Selasa.

KUALA LUMPUR: Setiap jabatan kerajaan berhak mengambil tindakan proaktif berlandaskan undang-undang bagi menangani salah laku penjawat awam, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, langkah sedemikian juga bersesuaian dengan undang-undang sedia ada di setiap jabatan yang perlu dipatuhi, selain bidang penguatkuasaan masing-masing.

"Setiap jabatan perlu lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah masing-masing, tidak perlu tunggu arahan dan masing-masing ada kuasa penguatkuasaan," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita  selepas majlis penyampaian surat arahan pemangkuaan dan kenaikan pangkat Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Datuk Seri Zoal Azha Yusof.

Sehubungan itu, Ali berkata, Jabatan Perhutanan dan Perhilitan perlu meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi merangka aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu dan menyeluruh.

Beliau berkata, langkah tersebut bagi memastikan sumber alam semula jadi negara ini dalam keadaan terjaga dan diuruskan dengan baik.

"Sepanjang Operasi Rangkaian Penguatkuasaan Biodiversiti 1Malaysia (1MBEON), renjer Perhilitan bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan rondaan ke pedalaman Taman Negara yang berkeluasan enam kali lebih besar daripada Singapura dan menahan 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana menceroboh.

"Berdasarkan tangkapan itu, saya percaya Perhilitan perlu meningkatkan usaha dan aktiviti rondaan serta penguatkuasaan di kawasan perlindungan negara melalui program 1MBEON," katanya.

Mengulas mengenai dua pegawai tinggi kerajaan yang disiasat berhubung aktiviti penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, Ali berkata perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa siasatan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya serahkan kepada SPRM, mereka badan bebas yang akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Pada Isnin, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, kertas siasatan dibuka berikutan terdapat maklumat mengenai kedua-dua pegawai yang bertugas di tanah tinggi tersebut, dikatakan hidup mewah melebihi pendapatan bulanan mereka.


Artikel Lain