suria

Pemandu Lori Bawa Muatan Kacang Tanah Maut Kemalangan

IPOH: Seorang pemandu lori maut apabila kenderaannya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 328.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan dekat Tapah, tengah malam Isnin. 

Ketua Polis Daerah Tapah ACP Som Sak Din Keliaw berkata dalam kejadian 12.15 tengah malam itu, Wong Choong Fook, 55, berasal dari Cheras, Kuala Lumpur, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah akibat tersepit.

"Lori dipandu mangsa yang membawa muatan bungkusan kacang tanah dan barang runcit terbabas selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux," katanya ketika dihubungi Bernama Selasa.

Beliau berkata lori dipandu Wong yang dalam perjalanan dari Sungai Siput ke Kuala Lumpur, terbalik di kaki lima lebuh raya berkenaan akibat rempuhan itu.

Katanya penumpang Toyota Hilux, Mohamad Azlan Che Omar, 34, yang berasal dari Gombak, Selangor, patah kaki kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Tapah sementara pemandunya, Riduan Mohd Nawi, 31, dari Bachok, Kelantan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain