PAC Sangkal Dakwaan Ia Tiada 'Taring' - Semasa | mStar

PAC Sangkal Dakwaan Ia Tiada 'Taring'

Nur Jazlan Mohamed.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyangkal dakwaan bahawa ia tidak mempunyai 'taring' dalam memastikan kerajaan mengambil tindakan terhadap syor-syor yang dikemukakan bagi menyelesaikan sesuatu isu.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata banyak syor yang dikemukakan jawatankuasa Parlimen itu sebelum ini, terutamanya berkaitan masalah yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara, telah diambil tindakan sewajarnya sama ada oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau kementerian-kementerian berkaitan.

"Apa yang PAC dapati sejak kita memulakan tugas dalam (persidangan) Parlimen yang baharu ini, tindakan yang diambil oleh KSN dan kementerian nampaknya mendahului PAC.

"Sebagai contoh, dalam laporan berkaitan Kementerian Dalam Negeri (KDN), mereka telah memulakan operasi audit ke atas syarikat sekuriti... walaupun PAC belum panggil mereka untuk memberi penjelasan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan prosiding bersama KDN berkaitan prosedur perlesenan syarikat keselamatan dan pengambilan pengawal keselamatan, di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai menyifatkan tindakan awal yang diambil KSN atau kementerian dalam menyelesaikan sesuatu isu sebagai perkembangan baik dan menggambarkannya sebagai sikap serius kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dilaporkan.

Beliau bagaimana pun menjelaskan tindakan awal yang diambil oleh sesuatu kementerian itu tidak boleh dianggap sebagai tindakan 'berkecuali' kerana ia bukan syor yang dikeluarkan PAC.

Menurutnya hanya PAC sahaja yang mengeluarkan syor bersifat berkecuali dan semua kementerian yang menerima syor daripada jawatankuasa itu wajar melaksanakannya seperti yang diminta.

"Saya tidak kata tindakan yang diambil KSN atau kementerian itu tidak betul, saya cuma katakan bahawa akhirnya hanya syor tindakan daripada PAC sahaja yang bersifat berkecuali kerana kita membuat syor tanpa memihak kepada mana-mana pihak," katanya.

Mengenai prosiding pada Isnin, Nur Jazlan berkata PAC telah mengesyorkan KD Nsupaya menjalankan ujian psikologi ke atas semua pengawal keselamatan di negara ini bagi menentukan tahap kecerdasan mental mereka menepati keperluan tugas.

Langkah itu penting bagi menjamin mereka dapat menjalankan tugas sebaik mungkin dan mengelak berulangnya kejadian seperti kes pegawai bank ditembak oleh pengawal keselamatan, katanya.

Nur Jazlan berkata KDN memaklumkan bahawa sehingga kini, lesen 45 syarikat keselamatan ditarik balik kerana melanggar syarat-syarat ditetapkan.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 163,000 pengawal keselamatan termasuk 13,000 warganegara Nepal bertugas dalam pelbagai sektor di negara ini.
PAC , Nur Jazlan Mohamed

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.