suria

DVD Cetak Rompak Bernilai RM500,000 Dirampas

GEORGE TOWN: Sejumlah 80,000 DVD cetak rompak bernilai RM500,000 dirampas dalam serbuan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang di sebuah kompleks beli belah di Jalan Dr Lim Chwee Leong, di sini, Isnin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK, Suhaimi Mat Sari berkata operasi pukul 5 petang di dua premis itu adalah hasil risikan selama dua minggu dan maklumat awam.

"Dalam serbuan di premis pertama kami menemui 60,000 keping DVD cetak rompak filem antarabangsa termasuk DVD lucah dipercayai untuk edaran sekitar negeri ini," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Beliau berkata pemeriksaan di premis kedua menemui 20,000 keping DVD perisian komputer termasuk permainan video cetak rompak beserta satu set mesin penyalin atau 'burner'.

Suhaimi berkata premis yang terletak di tingkat empat bangunan itu menjadi tempat pembungkusan dan pengedaran bahan cetak rompak berkenaan dan dipercayai telah beroperasi lebih setahun.

"Tiada tangkapan dibuat dalam serbuan itu. Kedua-dua premis tidak mempunyai papan tanda dan dalam keadaan berkunci dan kami terpaksa mengupah tukang kunci untuk membuka premis itu," katanya.

DVD, cetak rompak

Artikel Sebelum

Artikel Lain