suria

Cameron Highlands: SPRM Gesa Orang Ramai Tampil Beri Maklumat

KUANTAN: Orang ramai diminta tampil memberi maklumat berkaitan individu yang disyaki memberi rasuah kepada pihak berkuasa bagi tujuan pembersihan tanah secara haram di Cameron Highlands.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali berkata, pegawainya telah mengumpul bukti mengenai dakwaan aktiviti pembersihan tanah yang berleluasa di kawasan tanah tinggi itu.

"Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Berikan maklumat dan kami akan melakukan kerja kami dengan percuma, telus dan profesional.

"Pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pemberi Maklumat 2010, " katanya selepas menghadiri sesi taklimat dan dialog bersama Dewan Perniagaan Cina dan Industri Pahang, pada Sabtu.

Mustafar berkata, SPRM akan menyiasat semua kes rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Siasatan menyeluruh akan dijalankan ke atas semua orang tidak kira berpangkat tinggi, pegawai kerajaan, ahli politik atau pemimpin korporat.

"Sebagai contoh, saya mengetuai pasukan untuk menyiasat bekas menteri besar Selangor dan akan hadir bersama Peguam Negara apabila seseorang itu didakwa di mahkamah.

"Tidak kira ia kes kecil seperti ikan bilis atau besar seperti ikan jerung. Kami akan bertindak mengikut undang-undang yang ada," katanya.

Beliau turut memberi contoh kes melibatkan seorang individu cuba memberi rasuah kepada pegawai pejabat tanah sebanyak RM20,000 untuk mengosongkan tanah secara haram. 

Individu tersebut kemudian didakwa di mahkamah.

Mustafar berkata kerajaan Pahang  pro-aktif dalam menerima pakai beberapa daripada 12 cadangan yang dikemukakan oleh SPRM untuk meningkatkan pentadbirannya.

Beliau juga berkata, SPRM akan bekerjasama lebih rapat dengan agensi-agensi lain seperti pejabat tanah, polis , Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen untuk menangani masalah di kawasan tanah tinggi itu.

"Kami akan melihat sistem yang sedia ada dan prosedur yang boleh membawa kepada unsur-unsur rasuah," jelasnya. 

Beliau berkata SPRM juga akan meningkatkan usaha pencegahan dan kaedah pujukan serta melalui perbincangan dengan kesemua sektor bagi membendung amalan rasuah.

Pengarah SPRM Pahang, Zainul Darus berkata beliau tidak dapat mengulas mengenai perkara ini kerana ia dalam siasatan.

Difahamkan beberapa pasukan pegawai sudah berada di tanah tinggi untuk mengumpul bukti aktiviti rasuah dan dijangka akan bertemu dengan pegawai-pegawai daerah dan pejabat tanah.

Artikel Lain