suria

Khalid Terkejut Bayaran Tinggi Kepada Bekas Pegawainya

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa tidak mengetahui jumlah pembayaran pemberhentian kepada lapan bekas pegawainya yang masing-masing menerima sebanyak RM700,000.

Khalid yang kelihatan terkejut dengan jumlah tersebut berkata, beliau tidak pasti sama ada jumlah yang dibayar dibawah skim tersebut turut diberikan kepada setiausaha politiknya.

"Jika pengiraan itu betul, jadi ia memang betul, saya tidak fikir begitu (salah)," kata ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu di Pangsapuri Permai, Sungai Besi dekat sini, Sabtu.

Khalid menyifatkan wang tersebut sebagai bayaran pemberhentian kerja yang ditawarkan kepada kakitangan selepas perubahan menteri besar negeri berkenaan.

Jelasnya, keputusan mengenai pembayaran itu dibuat oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI).

"Ahli lembaga pengarah MBI terdiri daripada tiga individu - menteri besar, setiausaha kerajaan dan pegawai kewangan. Mereka yang membuat keputusan," katanya.

Tambahnya, Exco hanya perlu dimaklumkan mengenai pembayaran tersebut kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

Beliau memberitahu, MBI mempunyai simpanan tunai lebih RM112 juta dan bayaran yang dibuat kepada pegawainya pula tidak melebihi 2 peratus seperti yang disyaratkan.

"Ia mengikut prosedur, mereka boleh melakukan audit," kataya.

Pada Jumaat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dari PKR membangkitkan perkara itu menerusi tulisannya di Twitter dengan mendakwa kerajaan negeri tersebut dalam proses mendapatkan semula wang berkenaan.

"Kerajaan Selangor mengarahkan MBI untuk mendapatkan semula RM2.5 juta yang diberikan kepada bekas pembantu TSKI," tulis Dr Xavier di laman Twitternya.

Malah, Dr Xavier turut memberitahu sebuah portal berita pada Jumaat bahawa beliau menerima maklumat berkenaan daripada seorang ahli Exco Selangor yang kononnya ditugaskan untuk mendapatkan semula wang tersebut.

Khalid Ibrahim, MBI, Selangor

Artikel Berikut

Artikel Lain