suria

65,850 Orang Maut Nahas Jalan Raya, Kerajaan Rugi RM79 Bilion

Datuk Ab Aziz Kaprawi
KUALA LUMPUR: Kerajaan kerugian RM79 bilion susulan 65,850 orang terkorban dalam kemalangan jalan raya dari 2004 hingga 2013, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliau berkata kerugian itu disebabkan mereka yang terkorban telah menerima pelbagai insentif dan kemudahan daripada kerajaan antaranya kemudahan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pembiayaan pendidikan dan pelbagai perkara
lain.

"Pada tahun 2013 sahaja bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya adalah 6,915 orang, akibatnya kerajaan kerugian sebanyak RM8.3 bilion untuk tahun tersebut.

"Berdasarkan statistik 2013, secara purata sejumlah 19 orang terkorban akibat kemalangan jalan raya setiap hari dan indeks kematian adalah 2.90 bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar pada tahun 2013," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia peringkat kebangsaan Tahun 2014 bertema 'Kelajuan Membunuh - Menangani Kelajuan melalui Rekaan Bentuk' di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan di sini.


Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Dr Wong Shaw Voon.

Mengenai indeks kematian akibat kemalangan jalan raya di negara maju, Ab Aziz berkata bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar di United Kingdom, Sweden dan Australia indeks kematian dicatat ialah 2.0.

Bagaimanapun, Malaysia menerusi pihak polis, Kementerian Pengangkutan dan pelbagai agensi di bawahnya berjaya mengurangkan jumlah indeks kematian akibat kemalangan jalan raya daripada 4.51 pada 2004 kepada 2.90 pada 2013 walaupun jumlah pemandu berdaftar baharu dan jumlah kenderaan meningkat.


Sehubungan itu, kementerian memerlukan kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pengeluar kenderaan, sektor swasta serta orang ramai dalam menjayakan sasaran untuk mengurangkan 50 peratus kadar kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2020 menerusi Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020.

Artikel Lain