suria

Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak Pertubuhan Haram - KDN

Mohamad Khalid Shariff

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff berkata pengisytiharan dibuat semalam (14 Nov) mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966."SAPA merupakan pertubuhan yang menjalankan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan kepentingan keselamatan Malaysia dan ketenteraman awam di dalam negara ini.

"Saya menyeru kepada masyarakat untuk memberi kerjasama dalam membantu usaha kerajaan dalam menangani aktiviti-aktiviti SAPA yang dianggap bercanggah dengan undang-undang sedia ada demi kepentingan keselamatan Malaysia dan ketenteraman awam di dalam negara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Khalid berkata peruntukan di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] adalah berkaitan kuasa Menteri dalam mengisytiharkan sesebuah pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang.

"Maka adalah sah di sisi undang-undang bagi menteri, menurut budi bicaranya yang mutlak dengan jalan perintah, mengisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang mana-mana pertubuhan, cawangan atau peringkat atau jenis pertubuhan yang pada pendapatnya adalah atau sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana tempat di dalamnya, ketenteraman awam atau akhlak", katanya.

Berikutan pengisytiharan itu, Mohamad Khalid berkata tiada siapa boleh menggunakan semula nama, simbol, lambang atau logo SAPA sebagai pertubuhan berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 7 (3)(b) Akta Pertubuhan 1966.

Sehubungan itu, beliau berkata segala akaun, aset, harta SAPA akan diserahkan dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Selain itu, beliau berkata tiada sesiapa boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil SAPA.

"Mereka yang bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti SAPA akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 335, antaranya Seksyen 6 (2) dan 6 (3), Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 142 Kanun Keseksaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain