suria

Kertas Putih Mengenai Ancaman IS Akan Dibentangkan Di Parlimen - Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussien (kanan) diberi ucapan tahniah oleh Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron (dua kiri) selepas dianugerahkan pingat Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM), pada istiadat penganugerahan pingat kebesaran sempena Sambutan Hari Jadi, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob ke-76, sesi ketiga,pada Sabtu. Foto:BERNAMA

MELAKA: Satu kertas putih mengenai ancaman kumpulan militan yang digelar Negara Islam (IS) akan dibentang di Parlimen dalam masa terdekat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, langkah itu adalah pendekatan proaktif kerajaan dalam membanteras penularan IS di negara ini selain memastikan pihak keselamatan mempunyai segala apa yang diperlukan untuk mempertahankan keselamatan negara.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan kertas putih itu yang dihasilkan melalui kerjasama pelbagai pihak seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan agensi risikan negara.

"Ini (ancaman IS) bukan satu perkara yang belum kita lalui sebelum ini tapi ancamannya baharu...players, actorsnya baharu dan mereka menggunakan media sosial selain mempunyai banyak sumber kewangan," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Terdahulu, Hishammuddin dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Wira dalam Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Hari Jadi Ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Hishammuddin berkata, kumpulan militan IS juga melihat sesiapa sahaja yang tidak bersama mereka sebagai musuh dan sehubungan itu kerajaan perlu memikirkan cara bagaimana hendak berdepan dengan kumpulan itu yang dilihat cukup kompleks.

"Saya ingin maklumkan kepada orang ramai bahawa ancaman IS ini merupakan sesuatu yang kita bukan boleh ambil mudah, kebelakangan ini saya telah berbincang dengan ramai pemimpin antarabangsa dan serantau bagi menangani ancaman ini," katanya.

Dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron itu, Gabenor Acheh Dr H Zaini Abdullah menerima DGSM (Kehormat) membawa gelaran Datuk Wira, manakala lima penerima dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Mereka ialah Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Tan Sri Mohd Shukor Mahfar; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim; Setiausaha Kerja UMNO yang juga Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah Melaka, Datuk Ab Rauf Yusof dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Datuk R Ragavan.

Sebanyak 11 penerima pula dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran 'Datuk' termasuk Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Abd Halim Aman; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Dr Mohd Mohadis Yasin; Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Pengarah Keselamatan Malaysia, Datuk Aloyah Mamat dan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan.

Sementara itu, 78 orang pula menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang juga membawa gelaran 'Datuk' antaranya Pengarah Kastam Melaka, Datuk Saadon Mohd Dros dan Pengarah Hospital Melaka, Dr Za'aba Baba manakala 26 orang menerima Darjah Seri Melaka (DSM).

Sebanyak 56 menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 89 menerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 137 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 80 menerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan 17 menerima Pingat Khidmat Lama (PKL).- BERNAMA

hishammuddin Tun Hussien, IS

Artikel Lain