suria

Selangor Serah Semula Bible

Majlis ringkas penyerahan Bible yang dirampas Jais kepada Persatuan Gereja Sarawak sambil disaksikan Sultan Sharafuddin dan Azmin di Istana Alam Shah, Klang, Jumaat.

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor menyerahkan semula 321 kitab Bible yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM), awal tahun ini.

Bible bahasa Melayu dan Iban itu diserahkan kepada Persatuan Gereja Sarawak diwakili Biskop dari Kuching, Datuk Bolly Lapok dalam majlis ringkas di Istana Alam Shah, Klang pada Jumaat.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Azmin Ali, selain pegawai Jais, pemimpin dan wakil komuniti Kristian.

Azmin menerusi tweet berkata:"Penyelesaian secara baik berhubung isu rampasan Bible bahasa Melayu yang mengandungi perkataan Allah."

Penyerahan itu menamatkan kontroversi sejak rampasan kitab yang mengandungi perkataan Allah dalam serbuan di kedai buku BSM di Damansara pada 2 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, Presiden BSM, Lee Min Choon dan Pengurus Pejabatnya, Sinclair Wong turut ditahan polis untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan.

Jais memaklumkan, rampasan itu dijalankan mengikut Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988 yang melarang bukan Islam menggunakan perkataan Arab untuk Tuhan.

Sebelum ini, Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) enggan menyerahkan Bible itu walaupun selepas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan bahawa tiada asas untuk mendakwa BSM kerana kitab itu tidak menggugat keselamatan negara.


Selangor, bible, BSM, Bolly Lapok

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain