suria

KP Imigresen: Mustafa Ganti Aloyah

Aloyah pada hari terakhir bertugas di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya, Jumaat.

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, berkuatkuasa Jumaat.

Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Susulan itu, Ketua Pengarah Imigresen sebelum ini, Datuk Aloyah Mamat dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan juga berkuatkuasa pada hari sama.

Ali berkata. pelantikan Aloyah adalah bagi menggantikan Datuk Johari Jamaluddin yang bersara wajib.

"Saya percaya kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki Aloyah dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan di pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan dalam memastikan pengurusan keselamatan kerajaan meliputi keselamatan fizikal, dokumen dan personel dipertingkatkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Ali turut mengucapkan terima kasih kepada Johari di atas sumbangan dan khidmat beliau kepada perkhidmatan awam dan negara selama lebih 36 tahun.

Mengenai pelantikan Mustafa bagi menggantikan Alyoah, beliau percaya kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti  Mustafa boleh memimpin dan meneruskan kecemerlangan Jabatan Imigresen.

"Saya percaya Mustafa dapat terus meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dan keselamatan negara dengan penuh integriti," katanya.

Aloyah, 58, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dalam bidang pengajian pembangunan dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 25 tahun bermula 1 Ogos 1989 dan berpengalaman dalam bidang pentadbiran, pengurusan keselamatan dan pengurusan sumber manusia.

Aloyah dilantik menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen pada 5 Febebruari 2014.

Mustafa, 57, lulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Keselamatan Antarabangsa dari University of Pittsburgh, Amerika Syarikat, menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 3 Januari 1983.

Berpengalaman dalam bidang pentadbiran dan pengurusan keselamatan, Mustafa dilantik sebagai Ketua Pengarah Rela pada 20 Jun 2011 dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Keselamatan Sabah serta Setiausaha Keselamatan Negeri Sembilan dan Melaka.

Sementara itu, Pengarah Belanjawan, Pejabat Belanjawan Negara, Datuk Dr Ismail Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan berkuat kuasa 18 November ini bagi menggantikan Datuk Seri Long See Wool yang akan bersara wajib.

Ismail, yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 28 tahun bermula 13 Jan 1986, merupakan lulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Ekonomi dari University of Hull, United Kingdom dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan kewangan, ekonomi serta perolehan.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Belanjawan pada 20 Januari 2014 dan pernah memegang jawatan Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan dan menjadi Penasihat Kanan Ibu Pejabat Bank Dunia di Washington.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kewangan Kementerian Pengangkutan, Chua Kok Ching pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Pengangkutan berkuat kuasa Jumaat bagi menggantikan Datuk Yap Kin Sian yang bersara wajib.

Chua, 56, yang berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Awam dari University of Oklahoma, Amerika Syarikat, berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 3 Jan 1983 dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan serta kewangan.

Beliau pernah menjadi Setiausaha Bahagian, Urusetia Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Penambahbaikan PDRM Kementerian Dalam Negeri serta menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Bahagian, Urusetia Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Ali berkata, beliau yakin kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki Ismail dan Chua membolehkan mereka memimpin dan meneruskan agenda Kementerian Pengangkutan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan negara.

Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Imigresen pada Jumaat, sidang media khas mengenai pelantikan itu akan diadakan di ibu pejabat jabatan itu di Putrajaya pada Isnin depan.

"Sukacita dimaklumkan Jabatan Imigresen menjemput semua wakil media untuk hadir dan membuat liputan dalam sidang media khas sempena perlantikan Ketua Pengarah Imigresen yang baharu Datuk Mustafa Ibrahim," menurut kenyataan itu.

Majlis perpisahan dan kawalan kehormat perbarisan keluar Aloyah diadakan pada Jumaat.

Artikel Berikut

Feri Terbakar Di Jeti Pangkor

Artikel Lain