suria

13,360 Bilik Hotel Sedia Tampung Keperluan Pelancong Di Johor

NUSAJAYA: Sebanyak 13,360 bilik hotel bertaraf tiga bintang ke atas, ditawarkan sektor perhotelan di Johor tahun depan sebagai usaha menampung keperluan pelancong yang semakin pesat ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata penawaran berkenaan sejajar dengan pembinaan beberapa hotel tahun ini dan beberapa lain yang dirancang tahun hadapan.

"Setakat ini, bilangan bilik hotel bertaraf tiga bintang ke atas di negeri ini hanyalah 12,500 buah. Dengan beberapa hotel yang sedang dibina tahun ini dan tahun depan, maka, penawaran jumlah bilik dijangka meningkat 13,360 bilik," kata beliau.

Tee berkata demikian ketika menjawab soalan Hamimah Mansor (BN-Penawar) dan Dr Zaini Abu Bakar (BN-Nusajaya) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di Kota Iskandar, di sini, Rabu.

Beliau berkata berdasarkan Data Penginapan Hotel yang dilakukan Tourism Malaysia, jumlah pelancong yang bermalam di Johor adalah seramai 5.77 juta orang pada tahun lepas.

Beliau berkata jumlah berkenaan meningkat sebanyak 45.84 peratus berbanding 3.95 juta orang pada 2012.

Tee berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah komprehensif dalam memastikan peratusan penginapan di negeri ini meningkat dari semasa ke semasa termasuk menggalakkan pelaburan bagi pembinaan yang mempunyai elemen pelancongan di negeri ini.

"Selain itu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan juga merangka pelbagai program bertaraf antarabangsa bersama pihak swasta untuk menarik pelancong menginap lebih lama di negeri ini dan menganjurkan penerbangan sewa khas kepada agensi pelancongan dari dalam dan luar negara ke Johor bagi memberi kemudahan kepada agensi yang berminat untuk menjadikan Johor sebagai destinasi percutian pilihan," katanya.
Nusajaya, hotel

Artikel Sebelum

Artikel Lain