suria

Malaysia Kekurangan Ahli Fisioterapi - Hilmi

Dr Hilmi Yahaya.
KUALA LUMPUR: Hospital di seluruh negara menghadapi masalah kekurangan ahli fisioterapi untuk memenuhi keperluan rakyat, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pada masa ini hanya terdapat 2,281 ahli fisioterapi iaitu 1,425 di hospital kerajaan dan 856 di hospital swasta. 

Katanya, seorang ahli fisioterapi di Malaysia perlu merawat antara 15 dan 20 pesakit sehari, berbanding di Singapura dan Australia masing-masing lapan pesakit dan di Thailand sepuluh pesakit.

"Sementara mengikut populasi, di Singapura nisbahnya ialah 1:3,000, Australia 1:4,000, United Kingdom 1:3,000. Tetapi, Malaysia 1:13,000 penduduk.
 
"Ini menunjukkan bahawa kita perlu tambahan lebih daripada sekali ganda daripada yang ada sekarang jika mengikut norma negara maju," katanya menjawab soalan Khoo Soo Seang (BN-Tebrau) yang ingin tahu sama ada negara menghadapi kekurangan ahli fisioterapi.

Dr Hilmi berkata pertambahan ahli fisioterapi di hospital kerajaan dan swasta adalah kira-kira 500 orang setahun, tetapi perlu mengambil kira mereka yang bersara atau meninggalkan perkhidmatan.

Katanya, walaupun terdapat ramai graduan dalam bidang itu di universiti awam dan swasta setiap tahun, namun kapasiti perjawatan yang kecil menyebabkan kementerian tidak dapat mengisi keperluan dengan sewajarnya. 

Bagaimanapun, Dr Hilmi berharap mana-mana ahli fisioterapi yang gagal mendapatkan penempatan di hospital agar menubuhkan pasukan sendiri yang menawarkan perkhidmatan berkenaan seperti yang banyak terdapat di klinik swasta pada masa kini.

Artikel Sebelum