suria

RM245 Juta Untuk Atasi Banjir Kilat Di Melaka

MELAKA: Sebanyak RM245 juta diperlukan bagi melaksanakan pelbagai projek jangka pendek dan panjang untuk mengatasi masalah banjir kilat yang melanda negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka diberitahu pada Selasa.

Angota Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Abd Ghaffar Atan berkata antara projek jangka panjang yang terlibat ialah RM5 juta bagi tebatan banjir di Sungai Merlimau, Jasin dan sebanyak RM232,300 untuk penyelenggaraan parit di beberapa kawasan di negeri ini yang merupakan antara projek jangka pendek.

Beliau berkata kegagalan sistem saliran air sedia ada untuk menampung pengaliran air merupakan antara faktor utama banjir kilat di negeri ini terutama di Merlimau, Jasin yang terjadi pada Ogos lepas.

"Kerajaan negeri telah memohon kepada kerajaan persekutuan bagi menjadikan jumlah itu (RM245 juta) sebahagian daripada projek berjumlah RM9 bilion bagi mengatasi masalah banjir kilat di seluruh negara," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Roslan Ahmad (BN-Merlimau) yang bertanya apakah langkah jangka pendek dan panjang kerajaan negeri bagi mengatasi masalah banjir kilat di negeri ini terutama di kawasan Merlimau.

Abd Ghaffar berkata usaha mengatasi masalah banjir kilat tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya pada bahu kerajaan negeri, sebaliknya kerjasama rakyat untuk bersama menyelenggara sistem saliran air seperti longkang berhampiran rumah mereka adalah penting bagi mengatasi masalah itu.

Persidangan agak riuh seketika apabila Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) dalam soalan tambahannya bertanya adakah kerajaan negeri tidak serius dalam menangani masalah banjir kilat, yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Abd Ghaffar.

"Banjir menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda milik rakyat maka menjadi tanggungjawab kami sebagai kerajaan menjaga rakyat malah saya sendiri tidak cukup tidur berhempas pulas membantu rakyat semasa banjir kilat lepas, tetapi di mana pula yang berhormat Ayer Keroh (Khoo) ketika itu ?" katanya.

Sementara itu, anggota Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan Melaka Datuk M.S Mahadevan berkata pengganguran di negeri ini kini berada pada kadar 0.8 peratus yang merupakan terendah antara negeri-negeri lain di Malaysia.

"Guna tenaga di Melaka sentiasa pada tahap tertinggi dan kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan rakyatnya mempunyai pekerjaan," katanya menjawab soalan Datuk Sazali Muhd Din (BN-Paya Rumput).

Artikel Berikut

MH17: Najib Gesa Putin Buka Laluan

Artikel Lain