suria

Gempur Pati, Orang Tempatan Di Cameron Highlands - Shahidan

KUALA LUMPUR: Operasi besar-besaran menggempur pendatang asing tanpa izin (Pati) dan orang tempatan yang terlibat dalam kegiatan penerokaan tanah haram di Cameron Highlands akan digerakkan dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata operasi itu akan melibatkan semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sebanyak 4,500 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang dikenal pasti bekerja di Cameron Highlands turut tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan," katanya.

Shahidan berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas bencana banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands di Parlimen di sini, Selasa.

Tambah beliau, wakil UNHCR telah berjumpa dengannya dan memaklumkan bahawa pemegang kad UNHCR tidak kebal daripada undang-undang.

"Kita mendapati terdapat juga pelarian Rohingya yang menggunakan kad UNHCR itu sewenang-wenangnya untuk bekerja," jelasnya.

Dua hari lepas, 181 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan dalam 'Ops Gempak dan Mesra' Jabatan Imigresen di tujuh lokasi berasingan sekitar Cameron Highlands.

Dilapor, siasatan awal Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai punca kebanjiran ribuan pekerja asing di Cameron Highlands mendapati wujudnya penipuan sindiket pekerja berkenaan yang berleluasa sejak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lantaran itu, agensi-agensi di bawah kementerian telah dikerah menjejaki ejen sindiket terlibat yang dipercayai menawarkan pelbagai pekerjaan bagi menipu pekerja asing.

Dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands Rabu lepas, lima mangsa termasuk warga asing terkorban manakala lima lagi cedera.

Tanah Runtuh, Cameron Highland

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain