Laluan Ditutup, Mangsa Banjir Dibenar Pulang Bersihkan Rumah - Semasa | mStar

Laluan Ditutup, Mangsa Banjir Dibenar Pulang Bersihkan Rumah

Laluan ke Cameron Highlands turut retak akibat kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur baru-baru ini.
CAMERON HIGHLANDS: Laluan ke sini melalui Tapah dan Ringlet ditutup mulai 9.25 malam Sabtu bagi membolehkan kerja pembersihan dijalankan akibat banjir lumpur dan tanah runtuh di tebing laluan berkenaan.


Malahan, ada juga laluan yang didapati retak beberapa meter hingga memaksa pihak berkuasa menutup satu laluan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, pada pagi Ahad ini, mangsa banjir di sekitar Ringlet dan Lembah Bertam yang ditempatkan di pusat pemindahan sejak Rabu lepas berikutan pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar, dibenarkan pulang untuk membersihkan rumah masing-masing.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superitendan Wan Zahari Wan Busu berkata, penduduk dibenarkan pulang bagi tujuan itu, berikutan keadaan cuaca cerah pagi Ahad.



"Pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat akan sentiasa memantau keadaan ketika penduduk melakukan kerja pembersihan," katanya ketika dihubungi Bernama,di sini, Ahad.

Bagaimanapun, katanya, penduduk terbabit hanya akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan disahkan selamat.

Katanya, jumlah mangsa di pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet setakat 9.30 pagi ini masih kekal 91 orang daripada 28 keluarga.




Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.

Sementara itu, Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing ekoran hujan lebat selama sejam.

Dalam kejadian itu, lima mangsa turut terkorban manakala lima lagi cedera.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

"Kami sudah beri yang terbaik" - Aidil

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM