suria

SKMM Akan Bertemu Telco, Bincang Persediaan Hadapi Bencana Alam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan pertemuan dengan semua syarikat telekomunikasi (Telco) Isnin ini bagi membincangkan persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam pada musim hujan ini.

Pengarah Kanan Komunikasi Strategik SKMM Sheikh Raffie Abd Rahman berkata, persediaan itu termasuk memastikan keupayaan sistem komunikasi terutama di kawasan yang berpotensi berlakunya bencana alam sentiasa dalam keadaan baik. 
 
"Kita (SKMM) memang mempunyai koordinasi dengan syarikat-syarikat telco dalam memantau sistem komunikasi di sesuatu kawasan termasuk pencawang telekomunikasi agar sentiasa berfungsi dengan baik.
 
"Terutamanya pada setiap hujung tahun di mana selalunya akan berlaku banjir dan bencana alam yang lain yang mungkin menyebabkan berlakunya telekomunikasi 'down' di kawasan terlibat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, pada pertemuan itu nanti, SKMM dan syarikat telco juga dijangka meneliti setiap kemungkinan yang akan berlaku dan mengenal pasti penyelesaian atau persediaan awal yang boleh dilakukan.
 
Sheikh Raffie berkata, kebiasaannya apabila berlaku sesuatu bencana alam, sistem telekomunikasi di kawasan terbabit boleh menjadi lemah atau 'down' berikutan kadar komunikasi meningkat melebihi kapasiti pencawang.

Katanya, pencawang telekomunikasi di sesuatu kawasan hanya mampu menampung jumlah penggunaan atau kapasiti tertentu bergantung kepada yang telah ditetapkan syarikat telco yang memilikinya.
 
"Selalunya di sesuatu kawasan yang sebelum ini kapasiti penggunaan telekomunikasinya rendah boleh naik mendadak ekoran bencana alam dan sebagainya dan ini akan melemahkan signal sekali gus mengganggu telekomunikasi itu sendiri.
 
"Situasi ini, pastinya akan menjejaskan aktiviti telekomunikasi pasukan penyelamat dalam menyampaikan bantuan di kawasan yang berlaku bencana alam," katanya.

Katanya, keadaan itu boleh diburukkan lagi dengan sikap orang ramai yang gemar mengambil gambar menggunakan telefon pintar dan berkongsi dengan rakan-rakan mereka atau memuat naik di laman-laman sosial.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai atau pihak yang berada di sesuatu kawasan bencana mengurangkan penggunaan telefon bimbit yang kurang penting bagi 'memberi laluan' kepada pasukan penyelamat menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan.

Mengulas insiden banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands, Sheikh Raffie berkata, SKMM telah pun mengkoordinasi pemantauan bersama syarikat telco bagi memastikan telekomunikasi di kawasan terbabit berfungsi dengan baik bagi membantu pasukan penyelamat dalam operasi mereka.
SKMM, syarikat telco

Artikel Lain