suria

Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Maut Langgar Besi Penghadang

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki Versys 650cc maut selepas motosikalnya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 15 Jalan Kuantan-Pintasan dekat Sungai Karang di sini, awal pagi Sabtu.

Mohd Rosmainie Radzi, 33, pekerja di bahagian penyelenggaraan Hotel Megaview Kuantan di sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. 

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata nahas pada 4 pagi itu berlaku semasa mangsa yang berasal dari Bandar Jengka sedang dalam perjalanan dari Pelabuhan Kuantan menghala ke bandar Kuantan.
 
"Mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum merempuh besi penghadang menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa memiliki lesen memandu sah dan memakai topi keledar semasa kejadian.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.

Artikel Berikut

Artikel Lain