suria

Lelaki Nigeria Ditahan Bersama Syabu

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki Nigeria bersama 2,553 gram paket syabu di sebuah kondominium di Batu Feringghi di sini.

Sumber polis berkata suspek berumur 32 tahun itu telah diintip sejak beberapa minggu lepas sebelum sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan dari Pulau Pinang menyerbu rumah berkenaan pada pukul 3 petang Jumaat.

"Lelaki berkenaan cuba melarikan diri semasa serbuan, bagaimanapun pihak polis telah mengepung kawasan tersebut.
 
"Hasil pemeriksaan dalam rumah berkenaan, polis menemui 50 paket dadah dipercayai syabu seberat 2,553 gram," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar.
 
Sumber itu berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek bergerak sendirian atau merupakan anggota sindiket pengedaran dadah.
 
"Polis juga sedang siasat dari mana lelaki itu mendapatkan bekalan dadah dan siapa pasarannya," katanya.

Suspek kini sedang direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Supt Guan Beng Kang mengesahkan penahanan warga Nigeria itu.
Nigeria, paket syabu

Artikel Lain