suria

Satu Mayat Nelayan Bot Berlanggar Ditemui

KUANTAN: Satu mayat daripada enam krew yang hilang selepas bot tunda mereka dilanggar sebuah kapal dagang kira-kira 16.4 kilometer dari Tanjung Gelang di sini Khamis lepas ditemui tengah hari Sabtu.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Datuk Nasir Adam berkata mayat yang belum dikenal pasti itu ditemui kira-kira 1.40 tengah hari oleh kapal KM Sebatik kira-kira lima batu nautika dari lokasi kejadian.

Beliau berkata mayat telah dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.
 
"Operasi mencari lima lagi krew bot tunda berkenaan masih diteruskan pasukan gerakan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada anggota daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, TLDM dan Jabatan Laut," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, seorang krew bot tunda warga Indonesia, Martin Sembiring, 30, terselamat selepas dia terjun daripada bot itu apabila menyedari sebuah kapal dagang semakin menghampiri bot mereka.

Martin kemudiannya diselamatkan sebuah kapal nelayan yang melalui kawasan kejadian sebelum laporan polis dibuat.
mayat nelayan, bot hilang

Artikel Lain