Umno Selangor Perlu Buat Pembaharuan Tawan Semula Selangor - Najib - Semasa | mStar

Umno Selangor Perlu Buat Pembaharuan Tawan Semula Selangor - Najib

KUALA LUMPUR: Umno Selangor perlu berani mengatur strategi baharu dan membuat perubahan minda jika mahu menawan semula negeri itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri dan Presiden Umno itu turut menggariskan tiga realiti yang perlu Umno Selangor terima, iaitu kedudukan Umno sebagai pembangkang di Selangor, kedudukan strategik Selangor sebagai pusat sosioekonomi yang rancak dan hakikat ia perlu berusaha menawan sokongan pengundi bandar serta semi bandar.

Najib berkata Umno Selangor tidak boleh lagi terus menggunakan strategi dan langkah yang sama dengan harapan untuk mendapatkan hasil berlainan.

"Kalau tak mengubah strategi, hala tuju, pendekatan dan mindset apakah kita boleh harapkan outcome (hasil) yang berbeza.

"Apakah kita memerlukan pemikiran yang luar biasa, strategi yang luar dari kelaziman dan pemikiran luar dari kotak untuk menentukan kejayaan yang amat diidam oleh kita?," katanya ketika merasmikan Konvensyen Umno Selangor di PWTC di sini, Sabtu.

Beliau berkata Umno Selangor juga perlu mengambil peluang daripada kekalutan kepimpinan pakatan pembangkang Selangor kini untuk mengembalikan sokongan rakyat Selangor kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Mengambil contoh krisis air di negeri itu dan 'Kajang Move', yang disifatkan sebagai menyusahkan rakyat Selangor, Najib berkata inilah masa yang paling sesuai untuk Umno Selangor menyusun barisan serta jenteranya.

"Kita perlu tunjuk kepada rakyat Selangor bahawa kepimpinan Umno lebih baik, lebih bermakna, lebih jujur pada rakyat, lebih mementingkan perjuangan untuk membela nasib rakyat," katanya.

Beliau turut menegur jentera Umno Selangor yang disifatkannya masih lembap dan mahu Badan Perhubungan Umno Selangor meningkatkan usaha mereka dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Kita masih lembap lagi. Saya tengok angka, saya ingin katakan kita masih lembap lagi. Kenapa tak tambah pengundi... tambah ahli Umno?," kata beliau.

"Prestasi kita tak berapa menggalakkan lagi. Bangkitlah kita daripada keadaan ini. Dengan semangat baharu saya akan bantu Umno Selangor untuk mencapai kejayaan," katanya.

Umno dan BN menghadapi kekalahan berturut-turut dalam PRU12 dan PRU13.

Dalam PRU13, BN hanya memenangi 12 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor, berbanding 20 kerusi pada PRU12.

Najib berkata beliau yakin jika Umno Selangor mampu bangun daripada kekalahan yang dihadapi, tiada sebab mengapa parti itu tidak boleh kembali semula untuk menguasai Selangor pada PRU14.

"Tidak ada apa yang akan menggembirakan hati saya daripada melihat kita menebus maruah kita dalam PRU akan datang. Tidak ada yang akan lebih menggembirakan saya daripada melihat Umno berkuasa kembali (di Selangor)," katanya.

Sejumlah 2,000 peserta antaranya terdiri daripada kepimpinan Umno peringkat bahagian, anggota Pemuda, Wanita dan Puteri Umno, Kelab Veteran Umno, dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Selangor menghadiri konvensyen kali ini.

Turut menghadiri konvensyen yang diadakan buat pertama kali dalam hampir 10 tahun itu ialah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.


Umno , Selangor

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

Artikel Lain