suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

ROS Kerjasama Dengan Polis Kesan Aktiviti Pembiayaan Keganasan

SHAH ALAM: Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) akan bekerjasama dengan polis bagi mengesan sebarang aktiviti pembiayaan keganasan daripada pihak tertentu melalui pertubuhan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama itu termasuk mengenal pasti pertubuhan yang turut dijadikan platform dalam aktiviti pengubahan wang haram.
 
"Dana yang diperoleh pertubuhan untuk kegiatan yang diharamkan, begitu juga pertubuhan yang terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram akan dikenakan tindakan perundangan.

"Ahli-ahli pertubuhan akan dikenakan tindakan keras dan kita tidak akan berkompromi mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pertubuhan Kebangsaan 2014, di sini, Sabtu.

Turut hadir, Ketua Pengarah ROS Mohammad Razin Abdullah.

Beliau berkata setakat ini ROS tidak menerima sebarang aduan dan maklumat berhubung penglibatan mana-mana pertubuhan terhadap kegiatan tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata kerajaan mengiktiraf peranan pertubuhan sebagai ejen inovasi sosial negara.

Katanya, menerusi pertubuhan, rakyat tidak lagi bergantung kepada kerajaan dan sektor swasta bagi menampung kesemua kehendak mereka.
 
"Pertubuhan juga telah membantu kerajaan untuk menghadapi cabaran sosial bagi mentransformasi masyarakat.
 
"Dengan semangat sukarelawan yang menebal pada setiap ahli pertubuhan, mereka membantu kerajaan memastikan masyarakat yang terpinggir serta kurang bernasib baik mempunyai akses yang sama dalam bidang pekerjaan, pembelajaran dan rawatan kesihatan," katanya.

aktiviti keganasan, ROS

Artikel Lain