suria

Akta Perubatan Tradisional, Komplementari Dilaksana Tahun Depan

Dr S. Subramaniam.
PETALING JAYA: Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari, yang diluluskan Parlimen tahun lepas, akan dilaksanakan pada pertengahan tahun depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Khamis.

Akta itu, katanya, bertujuan mengawal amalan perubatan tradisional dan komplementari bertepatan dengan standard serta garis panduan antarabangsa selain memastikan hanya pengamal tulen sahaja yang menawarkan khidmat mereka kepada orang ramai.

"Akta ini untuk memastikan pengamal perawatan tradisional hanyalah mereka yang mengikuti latihan yang diiktiraf dan ini akan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk menggunakan rawatan tradisional," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Perubatan Tradisional dan Komplementari Antarabangsa ke-8 di sini, Khamis.

Subramaniam berkata pengamal perubatan yang gagal mendaftar dan mematuhi undang-undang serta peraturan akan berdepan denda sehingga RM30,000.

Bagaimanapun, beliau berkata kementeriannya masih di peringkat menyediakan peraturan dan pengamal perubatan masih boleh meneruskan khidmat mereka seperti biasa.

Subramaniam berkata kementeriannya sedang mengadakan perbincangan dengan pengamal perubatan berhubung pelaksanaan undang-undang baharu itu dan sebahagian besar daripada mereka bersetuju untuk mematuhinya.

Ketika ini terdapat 12,235 pengamal perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak memberi kelonggaran kepada mana-mana syarikat yang menggunakan alat perubatan yang tidak mendapat kelulusan KKM.

"Kami tidak menyokong mana-mana pihak yang tidak mematuhi syarat atau standard dan piawaian yang telah ditetapkan oleh kementerian. Kami akan lihat isu ini secara terbuka dan akan ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menolak dakwaan kononnya kementerian itu berat sebelah dalam memberi kebenaran kepada sebahagian daripada syarikat swasta untuk menggunakan alat perubatan yang belum diluluskannya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain