suria

Judi Haram: Peguam Negara Cadang Pinda Akta Atau Wujud Baharu

BANGI: Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk meminda akta sedia ada atau mewujudkan akta baharu bagi mengekang kegiatan jenayah judi haram, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata, langkah itu dilihat perlu memandangkan kegiatan perjudian haram pada masa kini banyak dilakukan secara dalam talian.

"Ia perlu bukan disebabkan akta sedia ada sudah lapuk, kita tidak boleh cakap begitu, masalahnya sekarang banyak perjudian haram adalah secara dalam talian...dulu mana ada," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pandangan beberapa pihak bahawa undang-undang berkaitan perjudian iaitu Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dianggap sudah 'lapuk'.

Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula tidak mempunyai kuasa untuk menutup, menyita dan melucut hak terhadap pemilik premis yang didapati menjalankan kegiatan judi haram.

Abdul Gani berkata, perbincangan dengan pihak penguatkuasaan yang berkaitan sama ada perlu meminda akta sedia ada atau mewujudkan akta baharu akan dilakukan sebelum cadangan itu dikemukakan pada tahun depan.

Terdahulu beliau menyampaikan syarahan bertajuk "Critical Lawyering: Bridging Theory And Practice For Social Change" di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), di sini Isnin. 

judi haram

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain