suria

Dana Lebihan Subsidi Tambah Baik Pengangkutan Awam - Fomca

PETALING JAYA: Kerajaan disaran menggunakan dana daripada lebihan subsidi petrol menerusi program rasionalisasi bahan api itu yang bermula pertengahan tahun depan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di negara ini.


Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, penetapan kelayakan bagi subsidi petrol yang diputuskan kerajaan pada Isnin dilihat bersesuaian dengan peringkat pendapatan rakyat.

Beliau yang mengalu-alukan keputusan ini terutama golongan yang berpendapatan RM10,000 ke atas dianggap lebih berkemampuan dari segi pembelian petrol tanpa subsidi.

“Penetapan kelayakan ini akan memberi lebihan subsidi bahan api yang boleh disalurkan kepada peruntukan kerajaan yang lain.

“Diharapkan peruntukan itu dapat digunakan untuk tujuan pembangunan dengan menumpukan usaha menambah baik sistem pengangkutan awam di negara ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pengumuman kerajaan pada Isnin bahawa warganegara Malaysia yang berpendapatan lebih RM10,000 sebulan tidak layak menikmati subsidi petrol.

Menerusi skim rasionalisasi yang akan dilaksanakan kerajaan pada Jun tahun depan, warganegara Malaysia yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan layak menerima subsidi penuh, manakala yang berpendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 pula akan mendapat sebahagian subsidi.

Mohd Yusof berkata, penambahbaikan sistem pengangkutan awam itu nanti akan memberi manfaat kepada rakyat dan struktur pembangunan negara.

“Langkah ini juga akan membantu mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap penggunaan kenderaan persendirian memandangkan program rasionalisasi ini berkaitan dengan bahan api,” katanya sambil menambah bahawa ia akan melihat lebih tumpuan terhadap penggunaan pengangkutan awam.

Pada masa ini, mekanisme lengkap pelaksanaan program rasionalisasi subsidi petrol itu masih diteliti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Mohd Yusof berkata, diharapkan penelitian yang dibuat oleh kerajaan terhadap mekanisme pelaksanaan itu nanti tidak akan membebankan pengguna.

“Kita tidak mahu pelaksanaan ini akan memberi kesulitan kepada pengguna terutama pembelian petrol di stesen-stesen minyak pada waktu puncak,” katanya.

Artikel Lain