suria

Polis Serah Pada UM Benar Atau Tidak Anwar Hadiri Program Pidato - KPN

SEREMBAN: Polis menyerahkan kepada pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) sama ada membenarkan ataupun tidak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk ke universiti itu bagi menghadiri program pidato dijadualkan malam ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.


Beliau berkata, polis tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran universiti itu.

Bagaimanapun, katanya, polis akan memantau dan menempatkan anggota di kawasan luar universiti itu khususnya di sekitar Masjid Ar-Rahman untuk memastikan tidak berlaku perkara tidak diingini.

"Itu tanggungjawab kita (polis) untuk memastikan keselamatan awam di kawasan luar universiti. Tetapi dalam universiti saya serahkan kepada pihak universiti. Kita akan menempatkan anggota secukupnya kerana hendak memastikan kaedah keselamatan, tidak ada gangguan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penghormatan Kepada 'Wira Yang Tidak Didendang' Pasukan Penyelamat MH17 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan di sini, Isnin.

Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dan Pengetua SMK Seri Ampangan Mohd Sazali Sam.

Khalid berkata, terpulang kepada pihak universiti itu sama ada mahu membenarkan Anwar menghadiri program itu atau sebaliknya.

Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) sebelum ini dilaporkan akan meneruskan program pidato Anwar di kampus itu malam ini walaupun pengurusan kampus mengeluarkan larangan menerusi Timbalan Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof.

Sementara itu, berhubung pendengaran rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya esok dan lusa, Khalid menasihati semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menghormati proses undang-undang.

"Ini adalah proses undang-undang biasa. Saya minta pihak yang tidak berkenaan tidak perlu ganggu keadaan atau perjalanan perbicaraan mahkamah. Biarkan mahkamah bersidang dengan aman damai dan membuat keputusan.

"Kita (polis) bagaimanapun, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku," katanya.


Artikel Lain