suria

TMJ - Cik Khaleeda Diijab Kabul Hari Ini

JOHOR BHARU: Pasangan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Cik Khaleeda Bustamam akan diijab kabul pada Jumaat.

Bendera negeri dipasang di sepanjang jalan-jalan utama di antara Istana Pasir Pelangi, Istana Besar dan Istana Bukit Serene, yang akan menjadi lokasi majlis akad nikad.

Selain bendera negeri, turut dihiasi dengan cahaya lampu serta beberapa hiasan lain di sepanjang jalan menuju ke tempat majlis.

Majlis akad nikah akan dilangsungkan secara tertutup yang hanya akan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pengantin sahaja.

Majlis tahlil dan doa selamat berlangsung pada Khamis, dihadiri tetamu-tetamu jemputan di Masjid Sultan Abu Bakar.

Khemah besar dipasang di Istana Besar bagi majlis resepsi pada 8 November ini yang dijangka dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat.

Antara tetamu-tetamu kehormat yang akan menghadiri istiadat itu termasuk Sultan Brunei, Sultan Pahang, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri Singapura serta barisan exco dan anggota Dewan Undangan Negeri Johor.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, pihak majlis menghargai persiapan perkahwinan ini yang disediakan oleh kerajaan negeri.

"Semuanya berjalan lancar dan mengikut perancangan yang dibuat," katanya ketika dihubungi The Star pada Rabu.

Beliau juga berkata, rakyat dibenarkan untuk berhimpun di sepanjang jalan Istana Besar untuk melihat pengantin diraja yang akan menaiki kereta tanpa bumbung dari Istana Bukit Serene ke Istana Besar bagi majlis resepsi pada pukul 8.30 malam.

"Bagaimanapun, untuk keselamatan, hanya tetamu-tetamu jemputan sahaja yang dibenarkan memasuki Istana Besar, namun sebuah skrin besar akan dipasang di Dataran Bandaraya, Johor Bharu untuk disaksikan orang awam," tambahnya.

Tunku Mahkota Johor diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Baharu dan merupakan putera sulung daripada enam adik-beradik kepada Sultan Johor dan Raja Zarith Sofia.

Artikel Lain