suria

Kampung Boy Calon Anugerah Gaiman Jepun

Lat bersama karaktor Kampung Boy.

PETALING JAYA: Kampung Boy versi bahasa Jepun yang dihasilkan kartunis terkemuka negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat dicalonkan untuk Anugerah Gaiman bagi kategori komik luar negara.


Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menerusi kenyataan yang dikeluarkan memberitahu, anugerah itu mengangkat karya penerbitan kartun dan anime dengan penyertaan pencalonan dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Sepanyol, Belgium dan Sweden.

"Kampung Boy disenaraikan sebagai calon kerana ia bersifat dokumen sosial masyarakat Malaysia yang digambarkan secara santai termasuk suasana harmoni kaum, ekonomi dan budaya kehidupan Malaysia melalui pengalaman peribadi Lat ketika itu," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Anugerah yang dianjurkan Muzium Manga Antarabangsa Kyoto sejak 2011 untuk buku komik atau karya kartun dan anime luar dari Jepun yang diterjemahkan kepada bahasa Jepun.

Tempoh undian akan berakhir pada 30 November depan menggunakan sistem undian dalam talian menerusi www.gaiman.jp/nominate/local yang dibuka untuk undian umum di seluruh dunia, selain peti undi yang disediakan di kedai buku terpilih.

ITBM berkata, edisi terbaharu Kampung Boy diterjemahkan pensyarah bahasa Jepun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hieda Natsue dan disunting pensyarah Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), Profesor Madya Soda Naoki.

Karya itu dilancarkan ketika Pesta Buku Antarabangsa Tokyo (PBAT) pada Julai lalu dan seterusnya dijadikan bahan bantuan mengajar untuk Pengajian Asia Tenggara di TUFS.

Setakat ini, Kampung Boy diterjemahkan dan diterbitkan dalam lebih 12 bahasa dunia.


Anugerah Gaiman, Jepun, Kampung Boy, Lat

Artikel Sebelum

Artikel Lain