suria

Ancaman Jenayah Dan Gangsterism Tidak patah Semangat Pasukan Keselamatan

Kejadian sebuah kereta Perodua Kelisa milik seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia terbakar di dipercayai angkara perbuatan khianat individu tidak dikenali.

KOTA KINABALU: Pelbagai ancaman gangsterism dan perbuatan jenayah yang menggugat kewibawaan anggota pasukan keselamatan tidak mematahkan semangat mereka untuk terus memerangi kegiatan itu selain tugas memelihara dan menjamin keselamatan di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ancaman seperti itu telah berlaku sejak zaman dahulu, namun penyebarannya tidak meluas kerana ketiadaan media sosial sebagaimana dunia teknologi hari ini.

"Isu ancaman dan provokasi melampau daripada pihak tertentu sememangnya perkara biasa yang diterima oleh pihak berkuasa dan mereka ini sememangnya telah terlatih menangani perkara berikut selepas tamat menjalani latihan pusat. 

Walaupun berlaku tindakan tidak diingini akibat tindakan tegas diambil polis termasuk mewujudkan Undang-Undang Pencegahan Jenayah (POCA), namun ia tidak mematahkan semangat pasukan polis dalam membanteras aktiviti penjenayahdan gangsterisme di negara ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Balai Polis Pulau Gaya pada Khamis. 

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan timbalannya, Datuk Abdul Malek Harun.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian sebuah kereta Perodua Kelisa milik seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia terbakar dikediamannya di Taman Bukit Indah, Jitra, Kedah semalam dipercayai angkara perbuatan khianat individu tidak dikenali menggunakan bom botol.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata pihaknya memerlukan masa mengkaji atau meminda akta bersesuaian selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2012 dan tiga proklamasi darurat pada 2011 yang menyaksikan hampir 2,000 tahanan di Kamunting, Perak termasuk ketua-ketua gangster dibebaskan.

Sehubungan itu, katanya polis akan terus mencari mereka yang terbabit dalam aktiviti jenayah dan gangsterisme di negara ini khususnya ketua mereka. 

Mengenai lawatan ke Balai Polis Pulau Gaya, beliau berkata segala kemudahan yang diperlukan termasuk aset dan penambahan anggota akan disampaikan kepada kementeriannya untuk tindakan lanjut termasuk pertimbangan kerajaan untuk meluluskannya.

Dalam pada itu, katanya, polis akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasatempatan (PBT) bagi memperhebat usaha memerangi jenayah judi siber di Sabah.

Wan Junaidi berkata Polis Kontijen Sabah semakin agresif dalam menangani masalah judi siber di seluruh Sabah termasuk melibatkan Sabah Electricity SdnBhd (SESB) sekaligus mengelakkan pihak yang sama mengulangi kegiatan haram itu.

Bagaimanapun, beliau berkata pengusaha kafe siber yang ditarik balik lesen perniagaannya kerana menyediakan perjudian siber dapat beroperasi semula selepas mereka menggunakan nama lain dalam permohonan baru kepada pihak berkuasa tempatan untuk membuka kafe siber.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata Polis Sabah mencapai 52.2 peratus pencapaian dari semua sudut penurunan kadar jenayah di negeri ini melebihi sasaran yang ditetapkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Artikel Lain