suria

Butiran Projek HSR Malaysia-Singapura Dimuktamad Tahun Depan

Syed Hamid Albar
TOKYO: Malaysia akan mula memuktamadkan butiran projek Keretapi Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan Singapura suku pertama tahun depan.


Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, demikian kepada wartawan Malaysia dan Singapura pada Persidangan Kereta Api Berkelajuan Tinggi 2014 di sini, Rabu.

Persidangan itu diadakan untuk memperingati ulang tahun ke-50Tokaido Shinkansen atau 'bullet train'.

"Berhubung dengan kajian kemungkinan, kami telah mengemukakannya kepada kerajaan dan mereka telah menerimanya. Ia akan dikemukakan kepada Perdana Menteri (Malaysia dan Singapura).

"Dua jawatankuasa telahpun ditubuhkan - jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa bersama peringkat menteri," kata beliau.

Singapura masih dalam proses menjalankan kajian kemungkinan dan dijangka menyiapkannya pada awal tahun depan.

Syed Hamid berkata, kerajaan pada masa ini sedang membuat penilaian mengenai sistem Kereta Api Berkelajuan Tinggi yang terbaik bagi Malaysia berdasarkan sistem daripada Eropah, China dan Jepun.

Ia bukan semata-mata mengkaji tentang teknologi tetapi juga modal insan dan budaya cara berfikir, katanya.

Mengenai kekurangan pakar kereta api di Malaysia, beliau berkata lebih banyak universiti menawarkan kursus kejuruteraan kereta api sebagai persediaan untuk landskap pengangkutan awam negara yang akan mengalami perubahan.

Beliau mengaku bahawa HSR merupakan "perkara baharu" dalam teknologi kereta api tetapi memberi jaminan bahawa jurutera kereta api tempatan akan dihantar untuk latihan di luar negara apabila kerajaan memutuskan teknologi dari negara mana akan diguna pakai.

Syed Hamid berkata, tujuh stesen HSR telah dikenal pasti di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Batu Pahat, Muar dan Nusajaya.

 

Artikel Berikut

Artikel Lain