suria

Tolak Usaha Pihak Tertentu Gugat Keharmonian Negara - Ismail

MARAN: Rakyat perlu menolak sebarang usaha pihak tertentu untuk memecah belahkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini kerana ia boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Beliau berkata ada petanda menunjukkan segelintir pihak yang iri hati kejayaan negara, cuba menggugat keharmonian rakyat dengan isu-isu sensitif termasuk berkaitan agama.

"Yang menyedihkan ada rakyat negara ini sendiri yang sanggup menjadi tali barut dan melakukan perkara sensitif serta bertentangan dengan undang-undang negara," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Deepavali di rumah Ketua MIC Bahagian Maran M. Punggamanan di Sungei Jerik Maran pada Rabu.

Beliau berkata keharmonian yang dikecapi perlu dipertahankan bagi membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak pembangunan dan kegiatan ekonomi untuk kebaikan rakyat.

"Negara yang huru-hara dan bergolak bukan sahaja menyebabkan rakyat menderita, malah tiada pelabur yang akan datang ... yang akhirnya hanya merugikan rakyat dan negara," katanya. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain