suria

Tiong Lai Bertemu Pegawai Kanan AS Bincang Aspek Keselamatan Penerbangan

Datuk Seri Liow Tiong Lai
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan pegawai kanan penerbangan awam Amerika Syarikat (AS) akan bertemu untuk membincangkan langkah-langkah bagi meningkatkan keselamatan di sektor ini.

Terbang di atas wilayah-wilayah konflik dan pengesanan masa pesawat komersial akan menjadi salah satu topik dalam agenda tersebut, kata Tiong Lai.

Pertemuan itu diadakan susulan tragedi yang melibatkan syarikat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dan MH17 pada Mac dan Julai lalu.

Mesyuarat itu akan berlangsung di Washington DC pada minggu ini, di mana selepas itu Tiong Lai akan pergi ke Montreal, Kanada.

Dalam usaha mencari MH370, Tiong Lai berkata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan berada di Perth, Rabu, untuk melihat perkembangan operasi pencarian.

"Kami ingin memberi jaminan kepada keluarga-keluarga bahawa MH370 tetap menjadi keutamaan dan Kerajaan Malaysia bertekad untuk meneruskan pencarian," kata beliau dalam satu kenyataan, Isnin.

Tiong Lai berkata lebih 130,000sq km kawasan telah dipetakan dalam survei batimetri dasar laut yang masih berterusan di selatan Lautan Hindi sejak Jun, dan dijangka berterusan sehingga akhir bulan ini.

Satu lagi kapal, Fugro Discovery, yang dibiayai bersama oleh Malaysia dan Australia, akan memulakan operasi carian dalam beberapa hari lagi manakala Fugro Equator dijangka akan digerakkan sebagai kapal pencari apabila kerja-kerja batimetri selesai pada bulan Oktober.
Liow Tiong Lai, MH370, MH17

Artikel Sebelum

Artikel Lain