suria

AS Suarakan Hasrat Berkerjasama Dengan Malaysia Di PBB

Datuk Seri Najib Tun Razak
JAKARTA: Amerika Syarikat pada Isnin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak atas kejayaan Malaysia memenangi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dengan memperoleh 187 daripada 192 jumlah undi. 

Perdana Menteri ketika memaklumkan perkara itu berkata ucapan tahniah berkenaan disampaikan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry semasa membuat kunjungan hormat ke atas Najib sejurus selepas menghadiri upacara pelantikan Joko Widodo sebagai Presiden Republik Indonesia yang ketujuh di sini.

"Senator John Kerry juga menyatakan kesediaan Amerika Syarikat untuk bekerjasama dengan Malaysia di PBB," katanya kepada wartawan Malaysia sebelum kembali ke tanah air malam Isnin.


Najib berkata pada pertemuan itu beliau juga menyatakan bahawa Malaysia akan berperanan lebih aktif, malahan pada masa ini amat prihatin terhadap wabak penyakit Virus Ebola (EVD) yang semakin serius dihadapi dunia.

Menurutnya sebagai langkah awal, Malaysia memberi sumbangan sebanyak US$20 juta dalam bentuk sarung getah tangan untuk diagihkan kepada lima buah negara yang dilanda EVD.

Sambil menghargai usaha Malaysia itu, Perdana Menteri berkata Kerry juga menyampaikan hasrat agar Malaysia turut membantu mengumpul dana bagi memerangi virus itu.

Katanya pada masa ini tabung amanah yang ditubuhkan khas bagi tujuan itu masih kekurangan dana sebanyak US$400 juta.

Berhubung ancaman Kumpulan Militan Negara Islam (IS), Najib berkata Amerika Syarikat menghargai pendirian yang disuarakan Malaysia dan amat berharap Malaysia dapat mengekang ideologi itu daripada menjadi ancaman kepada dunia.

Perdana Menteri berkata pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama juga mengambil berat mengenai ancaman perubahan iklim dunia dan impaknya, sambil berharap Malaysia turut menyokong usaha itu.

Menurutnya Malaysia komited dengan usaha itu bagi memastikan tahap pelepasan karbon dioksida sekarang berkurangan sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020.

Katanya berdasarkan kecekapan dasar dan usaha berterusan kerajaan, Malaysia kini berada pada landasan yang betul ke arah usaha itu.

Selain itu, Najib berkata beliau juga berkesempatan untuk bertemu dengan Perdana Menteri Australia Tony Abbott semasa di sini dan kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan usaha mengesan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang masih hilang.

Perdana menteri berkata pada pertemuan itu kedua-dua negara bersetuju bahawa sebarang langkah selanjutnya sewajarnya mendapat pandangan daripada China terlebih dahulu.

Pesawat malang MH370 bersama 239 orang di dalamnya, 153 daripada mereka ialah penumpang warga China, hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lalu.

Artikel Lain