suria

RM9.32 Bilion Diperlukan Untuk Atasi Banjir Kilat Di Bandar

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara kali ke-9 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Selasa. Turut sama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel (kanan) dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga, kanan).

PUTRAJAYA: Sejumlah RM9.32 bilion diperlukan untuk mengatasi banjir kilat di kawasan bandar seluruh negara, meliputi pembinaan infrastruktur sistem saliran bandar, penyelesaian jangka pendek secara 'quick win' dan penyediaan Pelan Induk Saliran Bandar Secara Mesra Alam di bandar terpilih.

Anggaran peruntukan itu hasil kajian Jabatan Pengairan dan Saliran 2013 dimaklumkan dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara kali kesembilan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Selasa.

Mesyuarat turut dimaklumkan 102 kawasan bandar dikenal pasti mengalami masalah banjir kilat kritikal, antaranya disebabkan hujan lebat setempat berkeamatan tinggi dalam tempoh singkat dan ketidakupayaan sistem saliran sedia ada untuk menampung pertambahan air larian permukaan.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Mesyuarat turut mempertimbangkan Perkongsian Sumber Air Mentah dan Penyaluran Bekalan Air Terawat Antara Dua Negeri Berjiran sebagai platform perkongsian sumber air mentah.

Perkara itu bagi memberi manfaat antara dua negeri berjiran menjamin bekalan air serta memupuk kerjasama dan persefahaman dalam pembangunan serta pengurusan sumber air.

Selain itu, garis panduan dan dasar yang komprehensif perlu diwujudkan antara negeri terlibat agar sumber air dapat dioptimumkan penggunaan dan faedahnya.

Mesyuarat itu turut membincangkan tentang Kepentingan Keselamatan Struktur Empangan yang menekankan keperluan memperkukuhkan pasukan teknikal pengendali empangan sedia ada di setiap negeri.

Langkah itu bagi membolehkan kerja-kerja operasi dan penyenggaraan di setiap struktur empangan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Banjir, Selangor

Artikel Lain