suria

Pembantu Penguasa Kastam Didakwa Rasuah RM20,000

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu penguasa Kastam pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM20,000 berhubung operasi perniagaan arak antara September 2013 hingga Ogos lepas.

Mohd Nor Sukri Mohd Mokhtar, 36, yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Selangor, menghadapi sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM17,000 daripada seorang individu sebagai dorongan tidak mengganggu operasi perniagaan arak syarikat individu berkenaan.

Dia didakwa menerima wang itu melalui akaun miliknya dan akaun isteri Muliati Ahmad Termizi, 36, di Maybank Taman Segar, Maybank Taman Connaught, dan Maybank Alam Damai, Cheras di sini antara September 2013 hingga 19 Ogos lepas.

Mohd Nor Sukri, yang diwakili peguam Zainal Omar, turut didakwa meminta suapan RM3,000 daripada individu sama bagi tujuan yang sama di Restoran Kopitiam Taman Connaught, Cheras pada September 2013.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan Mohd Nor Sukri diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin Jaafar supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan sebutan kes ditetapkan 30 Okt.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang pembantu pegawai kastam mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menerima suapan berjumlah RM10,100 sebagai dorongan supaya tidak menjalankan operasi pemeriksaan ke atas premis arak.

Mohd Zulkifli Dollah, 49, yang bertugas di Cawangan Eksport, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) didakwa menerima rasuah berjumlah RM10,100 daripada seorang individu sebagai dorongan supaya tidak menjalankan operasi pemeriksaan ke atas premis menjual arak di Taman Harmoni Indah, Seri Kembangan, Selangor.

Tertuduh, yang diwakili peguam Feisal Mustapha, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Restoran Old Town White Coffe, No. 26, Jalan Jejaka 7, Taman Maluri Cheras di sini antara Oktober 2013 hingga Ogos lepas, mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Saifuddin Hashim Musaimi supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam dan sebutan kes ditetapkan 30 Okt.


Kastam, Rasuah, SPRM

Artikel Lain