suria

Tindakan Proaktif Jamin Keberkesanan Penyampaian Perkhidmatan Awam - Ali Hamsa

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan bekas Presiden Capam, Paul Zahra (kiri) menyampaikan momento kepada Dr Ali Hamsa yang juga Presiden Capam yang baharu, pada majlis perasmian Persidangan CAPAM 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Ahad.
PUTRAJAYA: Tindakan proaktif penting dalam menjamin keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada Ahad.


Beliau berkata, daya tarikan faktor bandar, termasuk kewujudan peluang pekerjaan, kehidupan lebih selesa dan moden serta kemudahan asas mengubah demografi negara ini dan memberi kesan terhadap penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, antara tindakan inovatif di negara ini bagi menangani keperluan masyarakat bandar yang semakin berkembang ialah Pusat Transformasi Bandar (UTC), yang diperkenal untuk menyediakan perkhidmatan utama sektor awam dan swasta di bawah satu bumbung.

"Kini terdapat tujuh UTC yang beroperasi tujuh hari seminggu, kecuali pada hari cuti umum, melewati waktu pejabat biasa," katanya dalam ucapan alu-aluan pada persidangan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (Capam) 2014 di sini.

Ali, yang baru dipilih sebagai presiden Capam bagi penggal 2014-2016 berkata, beliau sedar bahawa gandingan tekanan oleh penduduk dan pertumbuhan ekonomi serta perubahan iklim memberi tekanan hebat terhadap sumber penting.

"Oleh itu, sektor awam kini lebih perlu meneroka perkongsian sumber dan mengukuhkan hubungan kerja dengan sektor swasta," katanya.

Di Malaysia, Perkongsian Awam-Swasta adalah antara strategi yang diperkenal di bawah Model Baharu Ekonomi, yang berjaya melaksanakan beberapa projek, termasuk 27 lebuh raya tol.

"Dalam mentransformasi perkhidmatan awam, kita perlu mengamalkan konsep 'memanusiakan perkhidmatan awam'. Konsep ini memerlukan penjawat awam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, sejajar dengan peranan asas penjawat awam iaitu berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Kira-kira 1,500 anggota perwakilan dari 53 negara menghadiri persidangan dwitahunan tiga hari itu, bermula hari ini hingga Selasa.

Ia dianjurkan Capam dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Sekretariat Komanweld, dengan tema 'Transformasi Perkhidmatan Awam: Suatu Bicara Baharu'.

Bersempena persidangan ini, Forum Media Komanwel diadakan untuk julung kalinya Selasa ini dengan dihoskan bersama Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). 

Tan Sri Dr Ali Hamsa, Capam

Artikel Lain